Skip to main
Logo Malaysiakini

Isteri saya peluk Islam, bukan tukar budaya - Ryzal Duriankimchi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

“Isteri saya peluk Islam, dia tukar agama, bukan tukar budaya, jangan paksa seseorang terima sesuatu yang bukan budayanya,” kata YouTuber sensasi, Ryzal Ibrahim.

Dia berkata demikian bagi mengulas kritikan diterima berhubung kaedah berpantang yang dirasakan bersesuaian oleh segelintir pihak untuk isterinya, You Narae atau nama Islamnya, Mariam, wanita asal Korea Selatan.

Kata pemilik saluran YouTube Duriankimchi TV itu, Mariam seorang muslimah dan saudara baru justeru, tidak wajib untuknya mengikuti mana-mana adat tradisional sesuatu kaum khususnya budaya Melayu.

“Isteri saya bukan Melayu, bukan Cina, bukan India dan budaya negara lain tidak wajib untuk dia ikuti.

“Jika budaya berpantang Melayu tu wajib untuk semua kaum, adakah orang Islam di Korea, Jepun, Eropah akan kena ikut juga?

“Maryam masuk Islam, bukan masuk kaum. Budaya dan warisan keluarga di Korea masih miliknya walaupun dia seorang muslimah atau saudara baru,” katanya di Instagram malam tadi.

Ryzal meminta agar tiada campur tangan daripada pihak luar berhubung bagaimana dia menguruskan keadaan isterinya selepas melahirkan anak sulung mereka.

“Saya minta hajjah, mak cik, akak (kakak) serta semua di sini supaya berikan ruang kepada Maryam dan hormat budaya miliknya,” katanya.

Maryam melahirkan anak perempuan yang diberi nama Rina pada 20 Oktober lalu. Dia dan Ryzal berkahwin pada 15 Ogos 2019.

Pasangan itu menetap di Seoul sebelum mengambil keputusan pulang ke Malaysia pada September tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ryzal berkata, setakat ini Maryam menjalani pantang mengikut cara tradisional dan dipantau penjaga pantang yang datang ke kediaman mereka.

“Maryam menjalani pantang dengan bertungku, mengurut, mandi herba dan makan makanan pantang dalam pantauan saya dan penjaga pantang.

“Itu sudah memadai bagi saya. Dia sanggup ikut walau bukan budaya dia,” katanya.