Skip to main
Logo Malaysiakini

RM188 juta disediakan untuk inisiatif industri kreatif

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

BELANJAWAN 2022 | Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM188 juta bagi meneruskan pelbagai inisiatif dalam sektor industri kreatif bagi memacu pemulihan ekonomi melalui Belanjawan 2022.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, inisiatif itu antaranya seperti Dana Kandungan Digital, projek Kandungan Multimedia Digital, Insentif Filem, program Perkasa Modal Insan.

Katanya, turut disediakan adalah skim perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada golongan artis.

Menurut Tengku Zafrul, sebagai tambahan, pada tahun hadapan kerajaan akan menjayakan Program Riuh Keluarga Malaysia melalui dana padanan pinjaman pelaburan berjumlah 20 juta ringgit.

“Langkah ini dijangka memberi 5,000 peluang pekerjaan baru,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga bercadang untuk melanjutkan beberapa galakan termasuk pengecualian cukai pendapatan kepada penganjur aktiviti kesenian dan kebudayaan.

Turut mendapat manfaat ialah penganjur pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa.

Katanya pengecualian itu akan berlanjutan sehingga tahun taksiran 2025.

“Pengecualian duti hiburan ke atas aktiviti hiburan termasuk taman tema dan panggung wayang di semua Wilayah Persekutuan dan pengecualian cukai pelancongan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2022.

“Pihak negeri juga disaran untuk memberi pengecualian duti hiburan bagi menyokong pemulihan sektor ini,” katanya.

Selain itu, menurut Tengku Zafrul kerajaan memperuntukkan sebanyak RM30 juta melalui Skim Padanan Pinjaman Pelaburan bagi inisiatif Platform Animasi Negara yang akan dikendalikan oleh MyCreative Ventures.

“Nama Upin dan Ipin, Ejen Ali dan Boboboi terkenal bukan saja di negara kita tetapi tersohor serantau Asia Tenggara.

“Ia bagi mengetengahkan lebih banyak animasi tempatan ke persada antarabangsa,” katanya.