Skip to main
Logo Malaysiakini

Iman Troye seronok dapat menyumbang perjuangan irama tradisional

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bagi Iman Troye, bukan sesuatu yang mudah untuk membawa konsep tradisional seperti Nang dalam sesebuah karya pop.

Justeru, menurut penyanyi itu, dia berasa beruntung apabila diberi peluang dan kepercayaan untuk memperjuangkan karya tradisional tanah air.

Kata Iman lagi, apabila lagu ciptaan Ezra Kong itu berjaya berada di kedudukan pertama dalam senarai sohor kini YouTube Malaysia, ia sesuatu yang perlu dihargai kerana membawa makna tersendiri.

“Sejuta tontonan dalam tempoh kurang seminggu bagi video muzik lagu nyanyian saya adalah sesuatu pencapaian peribadi yang cukup luar biasa.

“Apatah lagi untuk berada di kedudukan pertama di senarai sohor kini YouTube Malaysia,” katanya mengulas pencapaian Nang selepas enam hari video muzik itu dilancarkan.

Duta pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar SPM itu berkata, kualiti lagu dan seni muzik video akan sentiasa menjadi keutamaannya sebagai penyanyi.

Majlis pelancaran Nang dilancarkan secara rasmi baru-baru ini di sebuah hotel di ibu kota serentak dengan kempen PTTI 2 Juta Bangkit Belajar.

Lagu terbitan XO House Sdn Bhd dengan kerjasama Universal Music Malaysia itu dilancarkan 15 Oktober lalu di semua pelantar muzik digital terpilih.

Video muzik lagu berkenaan dimuat naik di YouTube pada 22 Oktober lalu.

Selain sohor kini di YouTube Malaysia, Nang juga pernah berada dalam kedudukan top 5 platform muzik berkenaan dan top 10 di Spotify.

Untuk rekod, dua single Iman terdahulu iaitu Teman dan Pejam Celik Hari Raya berjaya mencecah sejuta tontonan dalam tempoh kurang seminggu dilancarkan.

Penyanyi itu turut berjaya meraih 4X Platinum bersamaan RM1 juta membabitkan 'talent management revenue' termasuk persembahan dalam dua lagu tersebut.

Kata pemilik nama sebenar Siti Nur Alyssa Sahabudin itu, pencapaian berkenaan juga sesuatu yang tidak dijangka memandangkan ketidaktentuan dalam pasaran muzik tanah air serta waktu pelancarannya iaitu di tengah penularan wabak Covid-19.

“Saya harus berterima kasih kepada semua yang menjadikan semua ini kenyataan,” katanya.

Iman, 19, juga berharap peminat akan lebih menyokong karya tempatan dan menjadikan muzik video lagunya turut mencecah sejuta tontonan dalam tempoh kurang sehari, sama seperti penyanyi antarabangsa.

“Jika hal seperti tu mampu terjadi, saya akan takjub dan tidak mampu berkata-kata (speechless),” katanya yang merakamkan lagu itu sekitar Januari lalu.