Skip to main
Logo Malaysiakini

Prebet Sapu wakili Malaysia ke Anugerah Oscars

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Filem cereka Prebet Sapu (Hail,Driver!) secara rasminya dipilih mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik di Anugerah Akademi (Oscars) ke-94.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada satu kenyataan memaklumkan 

Karya terbitan syarikat produksi Le Mediator Studio, Kristal Azmir Sdn Bhd dan Konda Kondi Studio itu merupakan garapan sulung pengarah muda Muzammer Rahman.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memaklumkan Prebet Sapu dijangka bersaing merebut Oscars pada festival yang dijadual berlangsung 27 Mac tahun depan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

“Pemilihan filem Prebet Sapu dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Filem Finas yang terdiri daripada para penggiat industri filem tempatan bertaraf profesional dan berpengalaman melalui proses penilaian terperinci berdasarkan kriteria perfileman seperti pengarahan, penceritaan, sinematografi, lakon layar, lakonan, adunan bunyi, skor muzik, penataan seni dan suntingan filem serta pematuhan kepada peraturan pertandingan yang ditetapkan oleh pihak penganjur Oscars,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Prebet Sapu diterajui bintang utama Amerul Affendi dan Mei Fen Lim selain penampilan istimewa seperti Bront Palarae, Sharifah Amani, Nam Ron, Nadiya Nisaa, Chew Kin Wah, Jay Iswazir, Anas Ridzuan serta Roslan Madun.

Filem yang sepenuhnya berwarna hitam putih itu juga mewakili Malaysia ke pelbagai festival filem antarabangsa termasuklah Udine Far East Film Festival, Itali; Jogja-Netpac Asian Film Festival (JAFF) Indonesia; Toronto Reel Asian Film Festival, Kanada; Asian Film Festival Barcelona; Sepanyol dan Innovative International Film Festival di India.