Skip to main
Logo Malaysiakini

Seniman M'sia perlu akses ke pasaran lebih baik - Tengku Zafrul

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seniman Malaysia memerlukan akses kepada pasaran dan ekosistem perniagaan yang lebih baik dalam jangka sederhana dan panjang untuk meningkatkan pemasaran hasil karya mereka di pasaran Asean.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pelbagai sokongan seperti geran dan pinjaman telah diberikan untuk membantu industri ini bertahan dan pulih.

“Bagi tujuan itu, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM22 juta dalam tempoh 14 bulan lepas untuk memberi manfaat kepada lebih 8,000 seniman di bawah Cendana,” katanya dalam ucapan pada pelancaran kerjasama TripArt dan CIMB Artober Hotel Art Fair 2021 di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Pengerusi Bernama Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

TripART merupakan kerjasama tiga pihak awam-swasta antara CIMB Group, Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana) dan Yayasan Hasanah, yayasan berasaskan impak milik Khazanah Nasional Bhd.

CIMB Artober Hotel Art Fair 2021 yang disokong oleh Cendana diadakan dari 4 hingga 7 Nov di Element by Westin Kuala Lumpur.

Pameran seni yang diadakan di suite tetamu telah diubah suai menjadi galeri mini merupakan yang pertama di Malaysia dan akan menyaksikan karya oleh lebih 50 artis dari sembilan galeri seni serta penerima manfaat dan rakan kongsi CIMB Foundation, Cendana dan Yayasan Hasanah yang mempamerkan karya seni dan kraftangan mereka.

Tengku Zafrul berkata CIMB Artober ini mampu merapatkan hubungan antara pencinta seni dan pengumpul baru dengan seniman, artis dan galeri.

“Malah, program seperti ini selaras dengan konsep senegara atau whole of nation apabila kerajaan dan pihak swasta, mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama untuk memakmurkan pembangunan industri kreatif negara.

“Kini, dengan pembukaan semula ekonomi dan sektor sosial, saya berharap masyarakat Malaysia akan mengunjungi semula pameran di galeri seni sambil menyokong perkembangan seni kontemporari tempatan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata Bajet 2022 yang dibentangkan pada Jumaat lepas menjadi bukti kepada sokongan dan komitmen kerajaan terhadap industri seni yang dicerminkan melalui peruntukan bernilai RM238 juta.

Katanya ini termasuk RM30 juta menerusi skim padanan pinjaman pelaburan bagi inisiatif platform animasi negara yang akan dikendalikan oleh MyCreative Ventures.

“Di sini, saya ingin menekankan bahawa bukan ini sahaja yang boleh dimanfaatkan oleh bakat-bakat seni kita.

“Jika mereka mempunyai perniagaan, mereka juga boleh memanfaatkan bantuan yang secara keseluruhannya bernilai RM40 bilion untuk memperkasakan usahawan tempatan,” katanya.

- Bernama