Pelukis M'sia berhajat hadiahkan 100 potret buat Ratu Elizabeth
Seorang pelukis berhajat menghadiahkan 100 keping potret istimewa buat Ratu Elizabeth sempena sambutan Jubli Platinum Ratu Inggeris itu tahun depan.
Kata Hakim Abdullah, buah tangan diusahakannya menggunakan pensil itu mula dilukis sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan tahun lalu.
“Tahun depan Ratu Elizabeth akan menyambut ulang tahun ke-70 pemerintahannya.
“Justeru, sebagai meraikan hubungan dua hala yang baik di antara Malaysia dengan United Kingdom, saya ingin hadiahkan sebuah koleksi lukisan yang memperincikan Ratu Elizabeth.
“Ini adalah hadiah daripada seorang pelukis Malaysia. Saya berharap hubungan ini akan terus berkembang lebih dekat pada masa hadapan,” katanya kepada Malaysiakini.
Hakim ditemui pada majlis pelancaran pameran lukisannya, Ninja In A Pencil, di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom di Kuala Lumpur, Charles Hay.
Istana Buckingham baru-baru ini mengumumkan, Ratu Elizabeth merancang untuk meraikan sambutan terbesar dalam dekad ini sempena jubli platinum dia menaiki takhta. Sambutan tersebut berlangsung dari 2 Jun hingga 5 Jun tahun depan.
Dia akan menjadi raja pertama British meraikan jubli platinum dalam sejarah negara itu. Ratu Elizabeth menaiki takhta pada 6 Feb 1952 ketika dia baru berusia 25 tahun.
Untuk rekod, selain lorekan (hatch) pensil, Hakim merupakan pelukis yang mahir menggunakan teknik berus udara (air brush) tradisional, warna air, akrilik dan pastel.
Dia pernah menghasilkan lukisan garisan pen untuk sebuah buku Australia berjudul Kambalda - History of a Mining Town oleh J J Gresham.
Selesai akhir tahun ini
Penuntut sarjana muda sastera (BA) iklan kreatif dari Sekolah Reka Bentuk, Universiti Curtin di Perth, Australia Barat pada 1991 itu juga pernah membuat reka bentuk label wain untuk Siri Ulang Tahun Western Mining Corporation pada 1990-an.
Mengulas tujuan buku itu dihasilkan, Hakim hanya menjawab ringkas: “Saya tidak berminat politik dunia.”
Kata Hakim, 58, ketika ini mungkin sudah terdapat berjuta-juta lukisan mengenai Ratu Elizabeth.
"Justeru saya melukis pula dengan cara yang dapat menceritakan bagaimana perjalanan pemerintahan takhta Ratu Elizabeth,” katanya.
Mengenai perkembangan projek berkenaan, bapa kepada seorang anak itu berkata, koleksi potret berkenaan sudah pun separuh disiapkan.
Menurutnya, buku mengandungi 100 imej pensil Ratu Elizabeth itu akan mempunyai kira-kira 70 hingga ke 80 muka surat.
“Sekarang saya dah berjaya siapkan 50 potret dan akan cuba habiskan baki lukisan selewat-lewat hujung tahun ni.
“Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom di sini sudah melihat koleksi potret berkenaan secara digital, kami akan berbincang mengenai kemungkinan mengadakan pameran bagi koleksi asal di lokasi yang akan diberitahu kelak.
“Pada masa sama, kami juga akan membincangkan bagaimana koleksi ini boleh memeriahkan lagi sambutan Jubli Platinum Ratu Elizabeth. Ia satu perkembangan positif setakat ni,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai