Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Ada apa dengan Mak Dara

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Ibu Mertuaku yang diterbitkan pada 1962 adalah antara filem terbaik pernah diarahkan seniman agung Allahyarham P Ramlee.

Antara watak yang paling diingati ramai dalam filem itu tentulah Mak Dara yang menjadi ibu mentua kepada Kassim Selamat. Kassim adalah watak yang dilakonkan oleh P Ramlee.

Hinaan Mak Dara pada golongan pemuzik amat jelas dalam Ibu Mertuaku sehingga kesan dialognya seakan-akan memberi badi pada golongan pemuzik, terutama dengan musim pandemik yang sedang kita lalui sepanjang hampir dua tahun ini.

Di sebalik watak antagonis Mak Dara, dan watak Kassim Selamat yang loser.

Selepas Sabariah bernikah dengan Kassim Selamat, Mak Dara masih menyimpan rasa kasih dan sayang pada anaknya itu. Sabariah dilakonkan oleh Sarimah.

Kerana kasih sayang itu Mak Dara menyerahkan RM5,000 untuk perbelanjaan hidup untuk anak dan menantunya di peringkat awal rumah tangga mereka.

Nilai RM5,000 pada awal 1960-an adalah satu jumlah yang amat besar. Serelung tanah pada waktu itu masih berharga kira-kira RM500. Justeru RM5,000 itu sebenarnya cukup untuk Sabariah dan Kassim Selamat membina hidup baru yang stabil kalau pemuzik itu jenis orang yang beringat akan masa depan.

Apa yang mereka lakukan dengan wang sebanyak itu?

Kerana mengikut kata hati

Mereka tinggal di hotel macam orang kaya walaupun tidak bekerja, selain bersuka ria tak ingat dunia sehinggalah wang yang diberi Mak Dara itu dihabiskan.

Jadi Kassim Selamat sebenarnya seorang yang suami yang gagal, lemah dan tidak punya pendirian.

Kalaulah dia seorang lelaki yang punya prinsip, masih bermain muzik dan wang RM5,000 itu digunakan dengan cara berhemah, tidaklah dia merempat menjadi buruh kontrak.

Malah mungkin pada akhirnya Mak Dara pun akan menghormati Kassim Selamat sebagai seorang suami yang bertanggung jawab dan dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap pemuzik dan orang seni secara keseluruhannya.

Kassim Selamat juga seorang yang tidak percaya pada qada dan qadar Tuhan. Justeru dia sanggup mencucuk matanya dengan garfu agar buta hanya kerana mengikut kata hati.

Langkah itu akhirnya membawa binasa pada dirinya sendiri.

Ibu Mertuaku P Ramlee menggambarkan bahawa kerjaya sebagai pemuzik adalah tidak menjamin masa depan.

Itu sebabnya dalam filem Masam Masam Manis terbitan 1965, watak guru dan pemuzik bernama Cikgu Shaari yang dilakonkan oleh P Ramlee digambarkan boleh berjaya.

Maksudnya dunia muzik itu hanya baik jika dibuat sebagai kerjaya sampingan, manakala hidup sebagai seorang guru itu lebih menjamin masa depan seseorang.

Apapun kesan seperti yang digambarkan dalam filem Ibu Mertua ini masih ada sampailah ke hari ini. Kita lihat ramai anak seni dan pemuzik yang melarat hidupnya pada hari tua mereka.

Memang ada antara mereka yang mendapat gelaran kebesaran seperti pangkat Datuk, tapi masih tinggal di PPRT atau rumah kos rendah. Malah ada yang sampai ke tahap asnaf walaupun satu masa dulu mereka dipuja dan hidup mewah.

Beringat, berjimat cermat

Itulah, apa kerjaya pun, pucuk pangkal ada pada diri kita sendiri. Ramai pemuzik dan band rock suatu masa dulu hidup dengan senang, ada persembahan di sana sini.

Pendapatan mereka pada waktu itu mencecah puluhan ribu ringgit sebulan.

Cuma itulah, mereka itu kebanyakannya hidup dengan gaya Kassim Selamat: hidup macam orang kaya, makan di tempat yang eksklusif.

Kenyataannya, tidak ada pemuzik mahupun artis yang menjadi kaya dengan hasil seni dan muzik, kecuali jika mereka memang anak orang kaya.

Saya menghormati pelawak legenda kita, Allahyarham Jamali Shadat. Dia seorang anak seni yang selalu beringat akan hari tuanya. Misalnya dia punya banyak rumah sewa.

Kesan pandemik memberi impak yang amat besar kepada golongan pemuzik. Ada yang bertukar kerjaya, pub ditutup, tempahan untuk membuat persembahan dibatalkan dan sebagainya.

Apabila kerja tak ada, sumber kewangan pun tersekat.

Apa kerjaya pun boleh sebenarnya kalau kita beringat dan berjimat cermat seperti arwah Jamali Shadat.

Ia adalah pilihan masing-masing. Kassim Selamat bukanlah contoh pemuzik yang perlu kita ikuti.


MEOR YUSOF AZIDDIN ialah penulis dan pemuzik jalanan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.