Skip to main
Logo Malaysiakini

Aina puas capai 'kesempurnaan' di Istana Budaya

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Akhirnya Aina Abdul puas selepas mendapat perasaan sempurna apabila dia beraksi menggunakan mikrofon puluhan ribu ringgi di pentas Panggung Sari Istana Budaya, kelmarin.

Kata penyanyi itu, keyakinan dirinya bertambah semasa membuat persembahan di depan penonton tatkala pertama kali diundang mengisi pentas besar tersebut.

Tambahnya, perasaan sempurna itu juga hadir terutama selepas hampir dua tahun tidak membuat sebarang persembahan berskala besar disebabkan perintah kawalan pergerakan.

“Mikrofon tu banyak membantu terutama dari segi keyakinan diri selain saya berupaya menyanyi lebih fleksibel.

“Perasaan semasa menyanyi di Istana Budaya itu pernah saya alami sewaktu bertanding dalam Anugerah Juara Lagu ke-34 pada 2019 dengan membawa lagu Sumpah.

“Ia membuatkan saya rasa gembira untuk melakukan persembahan. Dah lama saya cari perasaan sempurna macam tu,” katanya.

Aina yang ditemui selepas berakhir Konsert Patriotik Tanah Airku itu berkata, persembahannya pada malam tersebut boleh dikatakan sebagai persiapan menjelang persembahan solonya A Night With Aina Abdul pada 16 dan 17 Dis nanti.

“Saya kena bekerja keras untuk berikan yang terbaik buat peminat sebab saya mahu penonton menyaksikan persembahan tu nanti menangis dan berpeluh bersama-sama.

“Sebab peluang macam tu bukan mudah untuk saya perolehi,” katanya.

Pada masa sama, Aina turut melahirkan rasa syukur apabila tiket untuk malam persembahannya itu habis dijual hanya dalam masa dua hari.

“Alhamdulillah. Sebanyak 600 tiket berjaya dijual dalam masa dua hari.

“Terima kasih kepada kelab Ainations kerana menyokong perjalanan seni saya,” katanya.