Skip to main
Logo Malaysiakini

Saiful Apek, Yasin Senario antara penyeri GV8

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Percaya atau tidak, pelawak Yasin dan Saiful Apek dari kumpulan Senario adalah antara bintang yang diumum akan berentap dengan 12 peserta lain bagi merebut gelaran juara Gegar Vaganza 8 (GV8).

Selain kedua-dua mereka, turut dibawa memeriahkan pentas GV8 ialah Adibah Noor dan Aliff Aziz.

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad, berkata GV8 bakal membuka tirai mulai 21 Nov ini dan perjalanannya dibuat mengikut norma baru bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Tahun ini Gegar Vaganza kembali dengan tugas yang mencabar kerana kami perlu mengikut norma baru.

“Namun, kami akan memastikan segala urusan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara agar semua kru, juri, penyanyi yang terlibat selamat dalam suasana mereka bekerja.

“Ini adalah norma baru dan kita kena sesuaikan dengan situasi ni,” katanya.

Raqim berkata demikian ketika ditemui pada sidang media yang diadakan di sebuah hotel di ibu kota hari ini.

Mengulas penyertaan Senario, Raqim berkata, pentas itu terbuka untuk mereka yang pernah menghasilkan lagu-lagu hit.

Format asal dikekalkan

Walaupun Yasin dan Saiful Apek lebih dikenali sebagai pelawak, katanya, kemampuan kedua-dua mereka tidak boleh pandang rendah, malah turut berpeluang menjadi juara.

"Dan kami kena bagi peluang yang adil pada Yasin dan Saiful sebab mereka pernah mempunyai lagu hit.

“Kami juga mahu menampilkan kelainan untuk musim ni,” katanya.

Edisi kali ini merangkumi penyertaan daripada enam penyanyi solo lelaki, lima penyanyi solo wanita dan dua kumpulan duo.

Selain Aliff Aziz, lima bintang solo lelaki yang membawa cabaran kali ini ialah Aweera, Azan Scan, Fazley, Shidee dan Bandi Amuk.

Sementara itu, empat senarai penyanyi solo wanita yang turut menyahut cabaran musim ini ialah Ani Mayuni, Suki, Nikki dan penyanyi dari Indonesia, Upiak Isil.

Turut memberi saingan ialah kumpulan Nico sekali gus melengkap 13 penyertaan musim kali ini secara keseluruhan.

GV8 masih mengekalkan formal asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem permarkahan am sepenuhnya oleh juri profesional.

Barisan juri tetap terdiri daripada maestro muzik tersohor, Ramli MS, penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang dan guru vokal berpengalaman, Syafinaz Selamat.

Seperti sebelum ini, GV8 masih mengekalkan gandingan Nabil Ahmad dan Jihan Muse sebagai pengacara.

Konsert mingguan GV8 akan mula bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya selama 10 minggu pada setiap Ahad, pukul 9 malam dan dipancarkan secara eksklusif menerusi Astro Ria.

Juara GV8 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro.