Skip to main
Logo Malaysiakini

Adibah janji cuba jadi 'anak murid' yang baik di GV8

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Adibah Noor berkata dia sudah bersedia dengan apa saja percaturan yang bakal didepani untuk berdiri bersama pesaing lain di gelanggang Gegar Vaganza 8 (GV8) yang akan bermula 21 Nov ini.

Penyanyi dan pelakon itu berkata, dia akan bersikap terbuka dengan apa saja yang berlaku sementelah menerima tawaran untuk berentap dengan 12 lagi peserta pada program realiti berkenaan.

“Saya dah bersedia dari segi mental untuk hadapi apa jua 'permainan' TV dan produksi.

“Saya juga reda dengan apa saja yang akan berlaku, dah 20 tahun makan asam garam berada dalam industri seni muzik,” katanya.

Dia yang memang dikenali sebagai personaliti lantang bersuara menegur kesilapan seseorang berkata, persediaannya itu termasuk menerima kritikan - minggu demi minggu - daripada pihak yang pakar dalam tugas mereka, iaitu juri profesional.

“Soal dihakimi juri profesional seperti Syafinaz, Ramli MS dan Hetty Koes Endang pula, saya sedia maklum mereka mementingkan intelektual dalam pengolahan serta interpretasi lagu.

“Tapi jika yang mengkritik tu saya fikir bukan berada pada tahap yang sepatutnya mungkin saya akan ambil acuh tak acuh saja komen mereka,” katanya.

Menggeletar atas pentas

Adibah berkata demikian ditemui ketika ditemui pada sidang media GV8 yang diadakan di sebuah hotel di Bangsar, Kuala Lumpur semalam.

Konsert mingguan GV8 akan mula bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya selama 10 minggu pada setiap jam 9 malam Ahad dan dipancarkan secara eksklusif menerusi Astro Ria.

Menyedari sikapnya yang gemar memprotes sesuatu sebelum ini, Adibah, 51, berjanji dia akan cuba menjadi "anak murid" yang baik tanpa perlu menjadi seperti dirinya sebelum ini.

“Orang tahu saya suka protes, bising dan kuat mengadu sebelum ni, tapi, untuk jadi anak murid yang baik, saya kena berani terima teguran dan kritikan asalkan ia membina.

“Jika saya berani buat, saya kena berani tanggung. Ini adalah masanya untuk tunjukkan sisi saya yang berbeza. Saya sendiri pernah jadi juri dalam program realiti TV,” katanya.

Penyanyi Terlalu Istimewa itu berkata, untuk bersaing merebut gelaran juara mungkin adalah satu tugas yang paling mencabar buatnya ketika ini.

Jelasnya, ia memandangkan pentas yang dulu dianggap seperti ‘pejabat’ sudah menjadi terlalu asing buatnya disebabkan hampir dua tahun dia tidak membuat persembahan ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.

Namun, bagi Adibah, ini juga mungkin adalah masa yang bersesuaian untuk dia membuat kemunculan semula di pentas nyanyian.

“Sejujurnya masa sound check (ujian bunyi) saya menggeletar sebab pentas tu dah jadi terlalu asing buat saya disebabkan PKP, padahal dulu itulah pejabat tempat saya bekerja.

“Dari segi cabaran vokal pula, saya anggap Nikki Palikat adalah pencabar terdekat saya. Kita sedia maklum dia mempunyai tahap vokal yang tinggi.

“Shidee dan Aweera pula, masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dan saya anggap mereka akan memberi persaingan yang sihat,” katanya.