Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Penormalan ‘Budaya rogol’ di media perlu dihentikan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketika pelakon Malaysia, Fauzi Nawawi, muncul bersiaran di televisyen dalam sebuah rancangan bual bicara berbahasa Melayu bulan lalu, dia disoal babak ganas apa yang paling disukainya ketika penggambaran.

Dengan penuh lagak, dia mengatakan babak rogollah yang disukainya.

Fauzi menggambarkan bagaimana dia mencabut pakaian dan meletakkan tubuhnya ke atas seorang pelakon wanita dalam filem 2007 Anak Halal.

Dia menjelaskan bagaimana dia terpaksa mengawal “nafsu” dan mengelak dari melakukan original expression (raut wajah sebenar) di depan kamera.

Dia turut menamakan pelakon wanita tersebut ketika siaran. Klip dari rancangan itu tular di media sosial, dengan dimuatkan rakaman gelak tawa yang membayangi perbincangan itu seperti ia sesuatu yang bersahaja serta tidak berbahaya.

Namun tindak balas orang ramai adalah sebaliknya. Kebanyakan punca kemarahan pengkritik berpunca daripada “penormalan budaya rogol” di Malaysia serta saluran televisyen yang seakan tidak peduli akibatnya.

Pihak penerbit televisyen serta pelakon itu terpaksa memohon maaf. Namun, permohonan maaf Fauzi yang hanya diajukan kepada pelakon wanita, terutamanya suami dan keluarganya.

Fauzi Nawawi

Kenyataannya membakar kemarahan orang ramai kerana Fauzi dikatakan meremeh-temehkan isu itu. Walaupun memperakui bahawa perbualan tentang babak itu bermasalah, Fauzi mempertahankannya kerana merasakan ia dibincangkan bersama “lelaki lain” dalam rancangan televisyen. Dia kemudian membuang status permohonan maaf itu dari akaun Instagramnya.

Pada bulan sama, terdapat beberapa dakwaan umum juga muncul berkenaan salah laku seksual, yang turut melibatkan seorang lagi pembicara dalam rancangan bual bicara sama yang dikatakan berkelakuan tidak senonoh kepada seorang tetamu wanita berumur 18 tahun.

Tuduhan gangguan seksual juga muncul melibatkan Jabatan Hidupan Liar (Perhilitan) di Sabah, serta pasukan renang negara.

Perkara ini bukanlah sesuatu yang kebetulan. Ketidaksopanan seksual serta rogol sebagai topik perbualan antara lelaki merupakan gejala terhadap sebuah isu yang lebih besar dalam ruang hiburan berbahasa Melayu: penormalan budaya rogol, serta pengabsahan yang berlaku dalam filem apabila watak mangsa dikahwinkan dengan pelakunya.

Berkahwin dengan perogol

Budaya rogol di media berbahasa Melayu menjadi kebimbangan utama sejak sedekad lalu akibat daripada tayangan beberapa filem kontroversi. 

Misalnya, filem tahun 2011 Ombak Rindu menampilkan watak wanita muda yang dipaksa kahwin dengan perogolnya bagi melindungi kehormatannya, namun akhirnya jatuh cinta pada pelakunya.

Filem tahun 2015 Suami Aku Ustaz pula mengisahkan tentang sepasang ibu bapa yang mengahwinkan anak perempuan remaja mereka dengan guru sekolah agama secara rahsia kerana takut meninggalkan anak mereka berseorangan tanpa penjaga ketika menunaikan haji.

Anaknya itu turut jatuh cinta kepada suaminya yang berusia itu.

Naratif seperti ini menjadi kebiasaan dalam filem serta siri televisyen dalam bahasa Melayu. Kebanyakan masalah dihadapi protagonisnya diselesaikan atau “dituntaskan” lewat perkahwinan yang digubah secara kreatif.

Menerusi filem sebegini, seks diabsahkan melalui perkahwinan, tidak kiralah jika ia dipersetujui atau tidak.

Sebahagian daripada masalah ini turut melibatkan garis panduan penapisan serta penyiaran di Malaysia melibatkan produksi Bahasa Melayu, yang memastikan hanya “budaya sopan dan bertamadun” dibenarkan.

Penyiar tempatan benar mengikut nilai Islamik. Namun mereka turut beroperasi dalam kerangka pentafsiran Islam yang keras, sekali gus kandungan yang menormalkan idea bahawa wanita adalah punca gangguan kepada lelaki dan hanya menanti untuk dikahwini.

Dosa keganasan dan penderaan seksual hanya ditanggapi sebagai masalah sementara yang boleh disucikan dengan perkahwinan. Melihat daripada kaca mata sebegini, perkahwinan menjadikan sebarang bentuk seksual sebagai halal, atau dibenarkan dalam agama.

Di sebalik ini semua, peristiwa melibatkan Fauzi merupakan tamparan kepada industri hiburan berbahasa Melayu di Malaysia, yang sepatutnya sedar akan peranannya dalam mengulang serta mengnormalkan imej keganasan seksual, lebih-lebih lagi melibatkan wanita.

Filem serta rancangan TV berbahasa Melayu tempatan mempunyai penonton yang cukup ramai di Malaysia, serta mempunyai kesan ketara terhadap cara pandang Melayu Islam, kelompok etnik dan agama terbesar di negara ini.

Undang-undang diskriminasi seksual

Isunya bukan sahaja tentang kandungan yang tersebar luas melibatkan keganasan seksual dalam media berbahasa Melayu tetapi juga bagaimana kandungan sebegini boleh diterima penonton Melayu-Islam.

Walaupun tindak balas orang awam terhadap peristiwa melibatkan Fauzi ini melegakan, namun industri perlu bertanggungjawab akan produksi berterusan melibatkan kandungan yang mentraumakan serta berbahaya buat mereka yang pernah mengharungi keganasan seksual.

Bagi mencapai hal ini, perubahan serius diperlukan dalam industri hiburan serta bagaimana nilai Islam ditampilkan dalam mengulang serta memperkukuh pandangan kolot sebegini kepada wanita.

Rang undang-undang diskriminasi seksual dicadangkan oleh kerajaan sepatutnya dipinda bagi mengawal bagaimana wanita digambarkan dalam media serta memaksa industri membangunkan sebuah penanda aras berkenaan kesaksamaan gender.

Perubahan juga perlu melibatkan pengajaran nilai-nilai Islam di sekolah untuk memasukkan aspek pemerkasaan wanita dan kesaksamaan gender.

Penonton di Malaysia juga boleh terlibat dengan memboikot filem menjelikkan serta mencabar kandungan media yang menormalkan budaya rogol.

Ia akan menghantar pesanan jelas bahawa kandungan sebegini tidak lagi diterima.

Pengakhiran kepada filem yang berakar kepada kekurangsaksamaan gender serta penindasan terhadap wanita akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dalam jangka masa panjang.


AZMIL TAYEB merupakan pensyarah kanan sains politik di Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang. BENJAMIN YH LOH merupakan pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi di Taylor's Universiti Malaysia serta ahli bersekutu Asia Center, Bangkok.

Artikel ini diubahsuai dan diterjemah daripada versi asal Malaysia's insidious rape culture' must be eradicated yang diterbitkan oleh Nikkei Asia Review pada 11 November 2021.

Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.