Skip to main
Logo Malaysiakini

Haqiem tamat zaman bujang dalam majlis lebih RM7 juta

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penyanyi Haqiem Rusli, sah bergelar suami kepada ahli perniagaan Anis Sofea, dengan dua kali lafaz di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya pada jam 3.40 petang hari ini.

Pasangan yang menjalinkan cinta sejak dua tahun lalu itu dinikahkan Ketua Pegawai Agama Daerah Sepang, Zamzuri Ruslan sambil disaksikan bapa pengantin wanita, Wan Zamzuri Wan Muhammad.

Majlis serba ringkas dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) itu dihadiri 20 orang tetamu dari kalangan keluarga terdekat mempelai.

Haqiem atau nama sebenarnya, Ridzuan Haqiem Rusli, 23, menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300 selain wang hantaran, RM100,000.

Haqiem mengenakan persalinan berwarna kelabu rekaan Razman Razmi itu menyerahkan lima dulang hantaran berbalas jumlah sama oleh pihak pengantin perempuan.

Berkongsi detik gembira itu, Haqiem berkata, inilah saat yang ditunggu selama ini iaitu untuk memateri hubungannya dengan Anis, 19.

“Akhirnya sampai rezeki kami untuk menghalalkan hubungan,” katanya.

Terdahulu, penyanyi lagu Tergantung Sepi dan Mimpi ini membuat kejutan dengan mengumumkan tarikh mendirikan rumah tangga ketika berucap selepas kemenangannya pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-34.

Menurut penyanyi Jatuh Bangun itu, selepas mengumumkan berita untuk menamatkan zaman bujang beberapa bulan lalu, dia bersyukur kerana keinginan itu bukan hanya direstui keluarga, namun penyokong saya termasuk kelab peminat Qiemilio.

“Saya berjanji akan menjalankan tanggungjawab ini sebaik mungkin,” katanya.

Bermula dari kedai 'steamboat'

Bercerita mengenai detik perkenalan mereka, semuanya bermula selepas isterinya ketika itu mencari duta untuk mempromosikan perniagaan restoran miliknya di Setapak.

“Kalau nak tahu restoran Santhai Village yang saya usahakan selama ni bersama dengan dialah (isteri). Awalnya dia memang nak tawarkan saya sebagai duta restoran makanan steamboat itu.

“Tapi saya fikir kenapa tidak menjadi rakan kongsi juga. Sambil mempromosikannya, ada juga bahagian saya. Akhirnya persetujuan dicapai, kami jadi rakan kongsi. Sekarang sudah kongsi kehidupan bersama pula.

“Jadi dipendekkan cerita, kerap berjumpa dan tanpa diduga juga hati mula terpaut sayang,” kata artis naungan FMC itu.

Anis atau nama penuhnya Wan Anis Sofea Wan Zamzuri pula menerangkan, dia tersentuh dengan sikap Haqiem.

“Sifatnya yang penyayang, prihatin, bertanggungjawab, bercita-cita tinggi dan berbudi pekerti menjadikan saya jatuh hati kepadanya,” katanya.

Resepsi di Sky Glass, persalinan Rizman Ruzaini

Pasangan berkenaan akan turut diraikan malam ini dalam majlis resepsi bertemakan Seputih Salju di sebuah lokasi di pinggir ibu kota dipanggil Sky Glass dengan mengenakan persalinan rekaan Rizman Ruzaini.

HABIB Jewels, jenama barang kemas tempatan turut menyerikan pasangan berkenaan dengan aksesori berlian dan barangan kemas bernilai RM5 juta (bawah) bagi kedua-dua majlis.

Haqiem memberikan Cincin berlian Hearts of Fire yang merupakan berlian terbaik dunia kepada isterinya.

Persalinan kedua pasangan itu untuk majlis pernikahan dan persandingan dilengkapi koleksi berlian potongan ekslusif dari HABIB.

Nilai keseluruhan majlis perkahwinan dianggarkan lebih RM7 juta.

Dekorasi majlis yang diberikan nama The SOFEA berinspirasikan Floral Garden persis taman di kayangan dalam rona pastel merupakan ilham dan sentuhan daripada Primadona Events atas permintaan Anis Sofea yang minat kepada fesyen dan drama Korea.