Skip to main
Logo Malaysiakini

Venom: Let There Be Carnage - penonton diajak fahami sifat sensitif Venom

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Jalan penceritaan Venom: Let There Be Carnage berjaya memaparkan satu perubahan besar berbanding filem yang pertama.

Karya yang mendapat arahan Andy Serkis itu lebih lucu dan menghiburkan, mempunyai plot tidak meleret, serta sarat aksi daripada Venom yang diterbitkan pada 2018.

Venom disutradarai, Ruben Fleischer.

Walaupun ia mungkin bukan filem Marvel yang terbaik kerana sarat dengan plot-plot klise seperti filem adiwira lain, namun naskhah itu boleh dikatakan bukanlah yang paling teruk.

Penampilan bersahaja Tom Hardy sebagai wartawan Eddie Brock berjaya mengundang perhatian kerana wataknya penuh konflik gara-gara cuba mencari keserasian dalam hubungannya dengan simbiosis asing iaitu Venom.

Dalam membina semula kerjayanya, Brock diberi tugasan untuk mewawancara pembunuh bersiri Cletus Kasady, watak yang dilakonkan oleh Woody Harrelson.

Kuasa super dimiliki Venom secara tidak langsung membantu Brock menyelesaikan misteri kes pembunuhan Kasady yang sebelum ini gagal dirungkai pihak polis.

Ketika menunggu hukuman mati, Kasady mengigit Brock dan secara tidak langsung menyebabkan dia menjadi hos kepada Carnage.

Hardy benar-benar menghidupkan karakter Venom. Dan ya, walaupun Venom mempunyai rupa yang menyeramkan, simbiosis asing itu memang begitu pandai melawak.

Pun begitu, kali ini penonton diajak untuk bermain dengan emosi dan lebih memahami sifat-sifat sensitif makhluk berkenaan.

Karakter tersebut diperluaskan dengan lebih mendalam kali ini apabila ia secara terang-terangan memberontak gara-gara ciri-cirinya sebagai pemangsa.

Untuk rekod, Hardy bukan saja setakat menerbitkan filem itu, bahkan dia turut menulis skrip di samping Kelly Marcel.

Harrelson pula berjaya menambah seri pada Venom: Let There Be Carnage dengan wataknya sebagai Kasady dan Carnage. Dia tampil membawa watak berbahaya, menakutkan, gila dan mengancam serta menyeramkan.

Cuma, impak dirasakan akan lebih menarik sekiranya terdapat perbezaan ketara pada suara Venom dan Carnage.

Venom Let There Be Carnage mempunyai babak penceritaan yang menarik dan baik cuma ia berakhir terlalu cepat dan sedikit tergesa-gesa.

Tempoh tayangan filem itu jauh lebih pendek daripada filem Marvel lain, iaitu 97 minit saja.

Tetapi secara keseluruhan, filem yang turut dijayakan oleh Michelle William, Naomie Harris, Reid Scott dan Stephen Graham itu berbaloi untuk ditonton di pawagam.

Venom: Let There Be Carnage sudah mula menjengah layar perak di seluruh negara sejak 11 November lalu.