Skip to main
Logo Malaysiakini

Bangkit lepas kontroversi, Ammar Titan anggap kongsi rezeki anak

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ibarat diberi peluang kedua melalui kehadiran cahaya mata baru, pelakon Ammar Titan menganggap setiap ruang untuk membina semula nama di pentas seni umpama menumpang rezeki Maryam Malaika.

Jika Ammar yang juga pengacara dan pelawak itu pernah beranggapan kesilapan dilakukan sebelum ini membuatkannya seperti jatuh terduduk, kini tidak lagi.

Justeru, menurutnya, dia sering mengingatkan dirinya bahawa setiap 'kemanisan' yang dikecapi dalam membangunkan kariernya semula disebabkan rezekinya dipermudahkan.

“Saya membisikkan perkara itu setiap hari pada Maryam dengan berkata; setiap tawaran kerja yang Abi dapat adalah sebab tumpang rezeki Maryam.

“Pernah ada segelintir orang yang berkata, saya tak akan berpeluang untuk bangkit kembali dan kadang-kala saya hampir percaya dengan apa yang mereka cakap.

“Namun, saya perlu terus bekerja demi keluarga dan minat. Sekiranya dapat bawa sekeping roti sebagai makanan atas meja untuk anak dan isteri pun dah memadai untuk buatkan saya gembira. Saya tak makan pun tak apa. Saya boleh makan dengan produksi,” katanya.

Menurut pemilik nama lengkap Azizul Ammar Abu Hassan itu, setiap musibah yang berlaku dalam kehidupannya dianggap sebagai satu proses untuk dia memperbaiki diri agar menjadi lebih baik.

“Memang pada awal saya tertanya-tanya mengapa ada orang sampai nak kecam dan maki hamun hingga keterlaluan disebabkan perbuatan saya.

“Namun, saya anggap saja mereka ambil berat dan sayang biarpun teguran yang mereka lontarkan tak sedap untuk didengari,” katanya.

Untuk rekod, selain Maryam yang berusia hampir dua bulan, Ammar yang mendirikan rumah tangga dengan Nur Amalina Jamil pada 2017 terlebih dulu dikurniakan Airis Aishah, empat tahun.

Ammar berkata demikian ketika ditemui selepas selesai tayangan filem dibintanginya Siapa Tutup Lampu yang diadakan di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, semalam.

Turut membintangi filem terbitan Horizon Film Entertainment dan Articulate Fusions Productions itu adalah pelakon seperti Uyaina Arshad, Naim Daniel, Ismi Melinda, Azhar Jalil, Afieq Shazwan, Melissa Campbell, Mark O’dea, Geoff Andre Feyaerts, Yusof haslam, dan Fatimah Abu Bakar.

Filem yang mendapat arahan Aliff Ihsan Rahman itu berkisahkan lima sekawan, iaitu Akmal, Arif, Aryana, Azie dan Amir yang penuh dengan rahsia.

Mereka terlibat dalam kemalangan dalam perjalanan pulang dari bercuti di Genting Highlands. Amir dipercaya maut dalam kemalangan tersebut.

Anggota kumpulan lain pula mendapati diri mereka terperangkap dan berdepan kejadian menakutkan dalam bilik mayat sewaktu diminta untuk mengenal pasti mayat Amir.

Pada 2017, Ammar, 34, berdepan kontroversi dan tekanan teruk gara-gara menghina nama mendiang bapa bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek sewaktu mengacarakan program Sukan Tak Sentral.

Ammar berkata, dia tidak menolak kontroversi membabitkan dirinya itu mungkin pernah mengakibatkan dia dipulaukan dalam industri.

Pun begitu, menurutnya, dia bersyukur kerana dikurniakan isteri, yang sama-sama membantu dalam proses untuk dia terus bangun dan meneruskan kehidupan.

“Saya sentiasa berpegang pada kata-kata isteri untuk terus maju dan lupakan segala isu yang terjadi dengan mengambil ia sebagai iktibar dan teladan,” katanya.