Skip to main
Logo Malaysiakini

Pencipta 'House Of Cards' hasilkan siri TV baru kisah Jho Low, 1MDB

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Beau Willimon, pencipta siri TV thriller politik terkenal versi AS "House of Cards", bakal menghasilak siri baru mengenai kisah Jho Low dan skandal 1MDB.

Siri ini berdasarkan buku "Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World" yang ditulis Tom Wright dan Bradley Hope.

Pelakon Malaysia, Michelle Yeoh akan menjadi antara penerbit siri berkenaan, manakala finalis Hadiah Pulitzer tiga kali David Henry Hwang dipilih sebagai penulis skrip.

Siri yang belum diberi tajuk ini juga akan diterbitkan bersama oleh SK Global, yang membiayai filem blockbuster "Crazy Rich Asians".

"Ia adalah kisah mengenai ketamakan dan penipuan kewangan, dan sindiran sosial yang komedi," kata CEO bersama SK Global, John Penotti dan Charlie Corwin dalam satu kenyataan.

"Kami sangat teruja dapat menghidupkan kisah luar biasa ini untuk penonton seluruh dunia," kata Penerbit eksekutif Willimon dan Jordan Tappis.

"Billion Dollar Whale" berkisar mengenai peranan Low Taek Jho, atau dikenali sebagai Jho Low, dalam skandal 1MDB.

Jho Low pernah menjadi orang kepercayaan kepada bekas perdana menteri Najib Razak, yang menubuhkan 1MDB sebagai dana kekayaan negara.

Syarikat itu memperoleh berbilion-bilion dalam bentuk bon tetapi kebanyakan wang diselewengkan.

Najib kini menghadapi perbicaraan kerana menyalahgunakan sebahagian daripada wang itu - berjumlah RM2.6 bilion - ke dalam akaun banknya sendiri.

Dia telah pun disabitkan bersalah oleh mahkamah kerana menyelewengkan RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd - sebuah syarikat yang mempunyai hubungan dengan 1MDB. 

Najib bagaimanapun membuat rayuan berhubung keputusan berkenaan.