Skip to main
Logo Malaysiakini

Mamat masih perlu lapor diri pada agensi antidadah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Vokalis Exist Mamat berkata dia masih perlu komited melaporkan setiap aktiviti pergerakannya kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Johor Bahru berikutan kes penyalahgunaan dadah pada 2019.

Katanya, dia perlu melapor diri kepada agensi tersebut selama tempoh dua tahun sebagai syarat pemulihan.

“Bermula awal tahun ni saya perlu melaporkan sebarang pergerakan termasuk urusan kerja di luar negeri kepada AADK Johor.

“Bergantung kepada permintaan agensi, ada kala saya perlu melapor diri sekali atau lebih dalam tempoh sebulan.

“Saya akur untuk mengikuti peraturan yang ditetapkan kerana hal ni demi kebaikan malah tak rasa terbeban sedikit pun,” katanya.

Selain itu, menurutnya, dia juga perlu mengikuti program kemasyarakatan yang dianjurkan agensi itu.

Mamat yang nama sebenar Mohd Ali Kamarudin berkata demikian selepas selesai sidang media pelancaran album Live Exist Reunion yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Untuk rekod, Mamat, ditahan pada 8 September dua tahun lalu ketika menaiki motosikal di Taman Perling bersama seorang rakannya kerana memiliki sejumlah dadah jenis syabu. Dia ditahan pada jam 11.30 malam.

Selepas menjayakan konsert Exists Reunion di Stadium Malawati Shah Alam pada 28 September lalu, dia menjalani rawatan di Persatuan Pengasih Malaysia.

Mengulas mengenai perancangan konsert jelajah Exist yang akan dijalankan tahun depan, Mamat berkata, urusan perjalanan bagi komitmen latihan akan diuruskan oleh pihak penganjur.

Justeru, menurutnya ia tidak akan menjadi masalah untuknya menjalani sesi latihan tersebut.

“Alhamdulillah, semua aktiviti yang membabitkan kumpulan Exists akan diuruskan oleh Shiraz Project. Tiada masalah berulang-alik demi kerja,” katanya.

Exist dijangka mengadakan konsert jelajah bermula di Singapura dan melabuhkan tirainya di Istana Budaya pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Selain itu, Exist juga sedang merancang untuk meneruskan konsert jelajah tersebut ke Indonesia dan berkongsi satu pentas dengan kumpulan Padi.

Sementara itu, ditanya mengenai desas-desus dia bakal menamatkan zaman duda dalam masa terdekat, Mamat bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut.

“Tiada komen, Insya-Allah,” katanya.