Skip to main
Logo Malaysiakini

Syamsul alu-alukan YouTuber kritik filem, tapi kena ada adab

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Syamsul Yusof beranggapan tidak salah untuk seseorang YouTuber memberi kritikan mengenai sesebuah filem melalui platform mereka.

Cuma, kata pengarah terkenal itu, sesebuah kritikan yang dilontarkan terlebih dulu wajarlah dibuat bersandarkan adab.

“Saya dah lama mengarah. Saya dari generasi sebelum ni dan ramai yang seangkatan dengan saya sudah pun memperlahankan kerjaya.

“Sama juga dalam kritikan filem, orang yang bercakap mengenai filem pun sudah berbeza. Apatah lagi sekarang era media sosial, semua perkara nak komen.

“Bagi saya memang tak salah, tapi adakah ia sesuai atau pun tidak?” soalnya.

Menurut Syamsul, 37, semua orang boleh mengkritik, namun, ia perlu dibezakan dengan penghinaan.

“Kena tahu bezakan kritikan dan hinaan. Nak kritik kena bijak. Kalau orang tak suka filem saya, okey saja. Apa yang penting saya puas. Saya tahu tak boleh puaskan hati semua orang.

“Saya bukan nak cakap saya bagus, tapi saya ada ilmu. Seseorang yang berjaya, pasti akan ada pihak yang tak suka atau ‘haters’.

“Bagi saya tu dah jadi perkara biasa. Kena kuatkan mental dan fokus pada karya,” katanya.

Syamsul berkongsi perkara itu pada sesi Instagram (IG) Live melalui topik Persediaan Menjadi Pengarah Tanpa Gagal, Bersama Penggiat Seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) malam tadi.

IG Live itu dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Sesi itu dikendalikan moderator yang juga bekas wartawan Melodi, Nik Syafiq dan Aswad Jalil (bekas wartawan hiburan HLive).

Sesi sama diteruskan lagi malam ini dengan menampilkan penyanyi, pelakon dan pengarah Mawi pada jam 8.30 malam secara langsung di IG WHAM @wartawanhiburan.

Untuk rekod, Syamsul adalah pemenang Pengarah Terbaik paling muda pernah memenangi anugerah Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM 23) iaitu pada usia 25 tahun menerusi filem Evolusi KL Drift 2.

Syamsul turut mengulangi kejayaan sama pada FFM 24 melalui filem KL Gangster dan FFM 28 bagi filem Munafik.

Lebih membanggakan Syamsul juga memenangi Pengarah Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-57 melalui filem genre horror itu.

Pada masa sama, Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof turut mengulas beberapa nama pengkarya yang dikaguminya selama ini.

Katanya, nama-nama itu antaranya Khabir Bhatia, Erma Fatima dan Shuhaimi Baba.

“Nak jadi pengarah bukan mudah. Kak Erma mengarahkan filem Embun. Begitu juga dengan filem sentuhan Shuhaimi Baba. Saya tabik mereka sebagai pengarah wanita.

“Kalau mereka boleh buat, takkan saya tak boleh. Jadi, mereka antara pengarah hebat yang saya suka dan saya kaji filem mereka.

“Saya kaji banyak cabang. Dan saya bukan jenis yang tengok sekejap saja,” katanya.