7 filem tak dapat kelulusan tayangan dalam dua tahun terakhir
Enam filem tidak mendapat kelulusan tayangan oleh Lembaga Penapis Filem (LPF) pada tahun lepas, manakala satu filem tidak diluluskan untuk tayangan tahun ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata enam filem itu ialah Daulat, Real Love, Shubh Mangal Zyada Saavdhan, Pallu Padama Paathuka, White Eye dan Boluomi selain The Battle At Lake Changjin.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang ingin tahu mengapa LPF bukan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta jumlah filem yang diharamkan pada 2020 dan 2021 pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Ismail berkata LPF tidak diletakkan di bawah KKMM kerana fungsinya adalah terhad kepada penapisan kandungan filem yang telah siap untuk ditayangkan kepada umum.
Menurutnya LPF juga tidak terlibat dalam urusan pembikinan atau pengeluaran filem kerana ia dilaksanakan secara langsung oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), iaitu agensi di bawah KKMM yang melaksana fungsi khusus untuk membangunkan industri filem tempatan berdasarkan peruntukan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.
Ismail berkata LPF mengguna pakai Garis Panduan Penapisan Filem KDN 2010 dalam melaksanakan proses penapisan filem dengan menekankan empat aspek utama iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosiobudaya serta ketertiban dan ketatasusilaan.
“Adalah jelas bahawa aspek keselamatan dan ketenteraman awam merupakan aspek tunjang yang menjadi keutamaan LPF dalam menilai kandungan sesebuah filem sebelum ia ditayangkan kepada umum yang menjadi asas LPF diletakkan di bawah KDN,” katanya.
Ismail berkata LPF kekal diletakkan di bawah bidang kuasa KDN bagi memastikan kandungan filem yang ditayangkan kepada umum tidak melanggar keempat-empat aspek utama yang boleh mengganggu gugat keselamatan negara.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai