Skip to main
Logo Malaysiakini

Pesta TUT ajak bincang kesan penapisan terhadap filem tempatan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pesta TUT (Tak Usah Tutup Tutup) diadakan sebagai sebahagian inisiatif untuk mengajak orang awam berbincang serta menyuarakan kegusaran terhadap sistem penapisan filem Malaysia.

Pengasas bersama penganjurnya, Freedom Filem Network (FFN) Brenda Danker berkata, antara persoalan yang akan dirungkai meliputi kewajaran penapisan filem yang dikenakan serta perlukah peraturan itu diperbaharui agar selari dengan realiti dalam masyarakat.

“Ateisme, alkohol, pengguguran, seksualiti, komunisme, perkauman, ulasan politik dan sosial, adalah bahan-bahan filem blockbuster dari Hollywood, Korea dan filem di Netflix. Tapi bukan (untuk) filem buatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Danker berkata program itu juga bertujuan membangkitkan kesan sistem penapisan filem sedia ada terhadap masyarakat apabila ia membataskan kebebasan seseorang pengarah dan akses penonton terhadap maklumat serta merencatkan pertumbuhan industri filem tempatan.

“Kami mahu rakyat negara ni memikirkan jika benar-benar ada keperluan untuk menapis kandungan yang mencerminkan diri kita secara kritis.

“Adakah ada ruang untuk pembikin filem tempatan menceritakan kisah mereka dengan jujur mengenai Malaysia?

“Di manakah kebebasan untuk penonton memilih dan menggunakan kandungan pilihan mereka sendiri tanpa campur tangan negara?” tambahnya.

Pesta TUT bermula dari 26 November hingga 5 Disember ini. Orang ramai boleh menonton sepuluh filem tempatan yang berdepan kesulitan dengan sistem penapisan secara dalam talian.

Terdahulu, didedahkan Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Ismail Mohamed Said memberitahu Parlimen bahawa enam filem tidak diluluskan untuk tayangan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) tahun lalu manakala satu lagi filem diharamkan tahun ini.

Ismail berkata filem-filem itu ialah Daulat, Real Love, Shubh Mangal Zyada Saavdhan, Pallu Padama Paathuka, White Eye dan Boluomi selain The Battle At Lake Changjin tidak diluluskan tahun ini.

Dia berkata LPF mengguna pakai Garis Panduan Penapisan Filem KDN 2010 dalam melaksanakan proses penapisan filem dengan menekankan empat aspek utama iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosiobudaya serta ketertiban dan ketatasusilaan.

“Adalah jelas bahawa aspek keselamatan dan ketenteraman awam merupakan aspek tunjang yang menjadi keutamaan LPF dalam menilai kandungan sesebuah filem sebelum ia ditayangkan kepada umum yang menjadi asas LPF diletakkan di bawah KDN,” katanya lagi.