Mahkamah izin harta Sajat disita untuk dilelong, kata peguam
Mahkamah hari ini membenarkan permohonan sebuah syarikat agar aset usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruzzaman, selepas dia gagal membayar pampasan yang sepatutnya.
Permohonan itu dibuat peguam OWA Resources Sdn Bhd (OWA Resources), Nurul Hafidzah Hassan, di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor.
Dalam permohonannya, syarikat terbabit menuntut pampasan sebanyak RM200,000 daripada Nur Sajat melalui proses sitaan dan dibenarkan mahkamah pagi tadi.
"Keputusan dibuat selepas mahkamah mendapati Sajat tidak memberi sebarang maklum balas untuk membayar pampasan," kata peguam itu dalam kenyataan hari ini.
Nurul Hafidzah menjelaskan pada April lalu Nur Sajat gagal dalam rayuannya untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Dis tahun lalu yang mengarahkan dia membuat bayaran ganti rugi kepada OWA Resources.
Syarikat itu merupakan bekas syarikat yang menjadi stokis utama kepada perniagaan Nur Sajat.
Tambahnya Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan dijalankan jam 10.30 pagi tadi di rumah personaliti itu di di Kota Damansara.
Katanya tumpuan OWA Resources sekarang ialah mendapatkan jumlah pampasan seperti diarahkan mahkamah.
"Barang-barang yang disita akan dilelong bawah harga pasaran untuk menebus pampasan yang perlu dibayar kepada pihak plaintif.
"Writ penyitaan dan penjualan sudah ditampal di premis defendan hari ini dan jika pihak defendan tidak membuat bayaran, semua barang yang disita akan dilelong pada 14 Disember ini," katanya.
Jika daripada lelongan tersebut jumlah yang mencukupi tidak diperolehi, kata Nurul Hafidzah, anak guamnya akan mengambil langkah lanjut seperti menyita aset lain untuk dijual.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai