Skip to main
Logo Malaysiakini

Nynaa, suami capai kata sepakat lepas episod kontroversi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kemelut rumah tangga pelakon Nynna Harizal dan suaminya, Mohamed Fahmi Mohamed Illyas, akhirnya menemui noktah apabila pasangan itu berbaik semula beberapa hari lalu.

Dalam sebutan semula kes bagi permohonan kembali taat kepada suami di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini, kedua-duanya mereka bersetuju untuk berdamai.

Sebelum prosiding berakhir, hakim syarie Mohd Yusof Sulaiman sempat menasihati pasangan suami isteri terbabit supaya sentiasa berkomunikasi kerana perbincangan adalah penyelesaian terbaik kepada sesuatu kemelut.

“Jika diam, tak ada komunikasi, masalah akan jadi.

“Kalau pagi itu tidak bercakap, petang itu dah kena geletek (bergurau senda) isteri, biar ada komunikasi,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Pasangan berkenaan juga kelihatan mesra sejurus keluar dari kereta jenis Bentley untuk menghadiri prosiding tersebut.

Bapa Nynaa, Harizal Hashom, 49, sebelum ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan membuat ugutan menggunakan sepucuk pistol terhadap seorang lelaki.

Kejadian itu berlaku ketika episod Nynaa didakwa Mohamed Fahmi, 29, dilarikan oleh keluarganya. 

Pada 11 November lalu, Mohamed Fahmi memfailkan permohonan di mahkamah syariah supaya isterinya kembali taat.

Permohonan tersebut difailkan Mohamed Fahmi sebagai plaintif terhadap Nynaa atau nama sebenarnya, Nurul Hanynaa Harizal, 25, selaku defendan.

Malaysiakini baru-baru ini melaporkan Mohamed Fahmi tidak menolak wang mungkin antara faktor berlaku konflik dalam rumah tangga yang baru berusia tiga bulan itu. 

Esok kedua-dua pasangan itu dijangka mengadakan sidang media khas bagi menjelaskan berhubung beberapa perkara berhubung kontroversi yang melanda perkahwinan mereka.