Isu plagiat: Penulis Indonesia pertimbang tindakan undang-undang
Penulis Indonesia Setia Naka Andrian berkata dia mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis Malaysia yang dipercayai memplagiat karyanya, sekiranya tiada sebarang usaha untuk menyelesaikan isu berkenaan dibuat.
Setia Naka, 32, berkata dia masih belum menerima sebarang permohonan maaf daripada pihak yang dituduh menciplak sajaknya.
“Saya berasa sedih kerana isu ini (plagiat) bukan menimpa saya sahaja tetapi juga penulis-penulis lain juga menghadapi isu sama,” katanya pada forum 'Plagiat Itu Pencuri' yang dianjurkan oleh Nusa Centre dan disiarkan secara langsung di Facebook semalam.
Forum yang turut menampilkan dua penulis Malaysia iaitu Lutfi Ishak dan Zaim Yusoff dan moderator Hafizah Iszahanid itu diadakan selepas seorang penulis yang dikatakan penerima anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) didakwa menciplak sajak yang kemudian disiarkan di beberapa medium termasuk majalah Dewan Sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Perkara itu didedahkan melalui notis di Facebook yang menyatakan permohonan maaf editor Dewan Sastera.
Sajak berjudul Mahukah Engkau Lelap Sekejap di Halaman Yang Tiada Pohon Rendang itu disiarkan Dewan Sastera untuk edisi Disember 2021 secara dalam talian.
Karya tersebut didakwa memplagiat sajak Setia Naka dalam kumpulan puisinya Orang-orang Kalang yang diterbitkan di Indonesia pada 2017.
Sementara itu, Setia Naka menjelaskan bahawa dia hanya mendapat tahu mengenai perkara itu pada 16 November daripada rakan-rakannya di Malaysia melalui media sosial.
Kata Setia Naka yang juga merupakan seorang pensyarah, penulis yang didakwa memplagiat itu pernah cuba menghubunginya tetapi pada masa itu dia sukar dihubungi.
Justeru, Setia Naka meminta penulis berkenaan menghubunginya melalui e-mel untuk menerangkan situasi.
Susulan itu, pada 23 November, penulis berkenaan menghantar e-mel kepada Setia Naka dan juga pada pihak penerbit.
Namun, kata Setia Naka, e-mel itu menyentuh isu yang berlainan.
DBP pada 18 Disember berkata sedang menyiasat perkara itu. Sehingga kini belum jelas sama ada siasatan telah selesai atau tidak.
Mengulas mengenai perkara itu, Setia Naka semalam berkata dia juga tidak tahu status siasatan berhubung perkara itu.
Tambah Setia Naka, dia rasa sedih kerana dia pernah berjumpa dengan penulis berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, dia akan mengikuti perkembangan siasatan dan akan ambil tindakan yang sewajarnya.
Sementara itu, pada forum dalam talian itu, Lutfi berkongsi pengalamannya berhubung isu plagiat.
Menurut Lutfi, salah satu tulisannya diciplak oleh penulis lain dan disiarkan di sebuah portal berita tempatan.
Mengakui terkilan dengan perkara itu, Lutfi berkata dia mendapati artikel tersebut hampir 90 peratus menyerupai karyanya.
Menurutnya, hanya beberapa perkataan yang diubah.
"Isu plagiat bukan sekadar isu peribadi tapi gambaran krisis nilai.
“Secara ilmiahnya, memplagiat salah dan yang memplagiat harus dikritik,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai