Skip to main
Logo Malaysiakini

Lepas album eksklusif konsert reunion, Exists jelajah ke Indonesia

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selepas melakar sejarah tersendiri pada konsert solo pertama tahun lalu, kumpulan Exists mengambil keputusan untuk mengabadikan kenangan persembahan mereka melalui Konsert Eksklusif Reunion Live Album yang terhad kepada hanya 1,000 unit.

Kata pemain gitar Exists, Along, album yang mengandungi 22 lagu itu berdurasi selama tempoh dua jam. Ia dipakejkan dalam dua keping cakera padat (CD) dan menjadikan ia album live pertama sepanjang sejarah Exist.

“Album ni sangat istimewa kerana pertama kali kami reunion dan juga pertama kali dirakam secara live.

“Apa yang saya alami semasa 'mastering' dan 'mixing' adalah detik berharga kerana dapat dengar jeritan peminat dan persembahan daripada anggota Exists dengan cara yang terbaik.

“Maksudnya peminat sendiri yang beri sokongan jeritan kepada kami. Bunyi yang ditampilkan dalam album ni ialah bunyi konsert sebenar yang mencipta kenangan indah,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Konsert Exists Reunion berlangsung pada 28 Sept 2019 di Stadium Malawati, Shah Alam menjadikan ia sejarah istimewa dalam penubuhan kumpulan yang turut dianggotai Mamat, Ajai, Ezad, Musa dan Ujang.

Bagaimanapun, penganjur Shiraz Projects, Shirazdeen Karim menerusi label Shiraz Music berkata, unit jualan CD eksklusif itu mungkin ditambah sekiranya terdapat permintaan dan sambutan luar jangka.

Sementara itu Ajai pula berkata, aktiviti Exists terus dirancang dengan Exists Tour yang akan bermula di Singapura dan berakhir di Istana Budaya, Kuala Lumpur tahun depan.

“Ada pelbagai lagi lokasi lain dan ia akan ditentukan oleh Shiraz Projects nanti. Kami akan berada di Singapura pada Mei dan selepas tu kembali mengadakan konsert di Malaysia.

“Konsert terakhir di Istana Budaya akan membabitkan orkestra penuh,” katanya.

Ezad (kiri) dan Mamat

Diminta mengulas mengenai album baru Exists, Ajai mengakui ia perkara yang sukar gara-gara masing-masing ada komitmen sendiri ketika ini.

“Masing-masing masih aktif dalam muzik. Cuma nak dapatkan jadual agak payah. Jadi biarlah kami hanya terbabit dalam projek seperti konsert,” katanya.

Mamat pula mengakui kejayaan konsert dan album terbabit dicapai melalui kerjasama berpasukan, manakala Ezad berkata dia amat teruja dengan album live berkenaan.

Selain itu, Exists juga sedang merancang untuk meneruskan konsert jelajah tersebut ke Indonesia dan berkongsi satu pentas dengan kumpulan Padi namun ia bergantung kepada situasi semasa.

Ditanya mengenai pemilihan itu, Along berkata, Exists yakin keserasian mudah terbina memandangkan kumpulan terkenal dari Indonesia itu pernah berkongsi pentas di Singapura.

“Kami dah berbincang dengan Padi. Tapi akibat pandemik, usaha ni tertangguh buat sementara. Selepas konsert di Istana Budaya, kami rancang nak ke Indonesia semula.

“Kumpulan Padi jadi pilihan kerana kesesuaian muzik mereka dengan Exists.

"Kami juga pernah bergabung dengan mereka dalam sebuah konsert di Singapura. Ada kesesuaian tu,” kata Along.