Skip to main
Logo Malaysiakini

Riyadh, Kuwait haramkan West Side Story kerana watak LGBTQ

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

West Side Story arahan Steven Spielberg tidak akan ditayangkan di Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas pihak berkuasa negara terbabit mendapati filem bikinan semula itu menampilkan watak transgender.

Arab Saudi dan Kuwait tidak mengeluarkan sijil izin tayang sekali gus menghalang naskhah itu daripada ditonton di pawagam negara berkenaan.

Filem itu pada awalnya disasarkan untuk ditayang di Arab Saudi pada 9 Dis lalu, iaitu sehari sebelum ia dibuka di Amerika Utara.

Lembaga penapis filem di Bahrain, Oman, Qatar dan UAE Emiriah pula dilaporkan meletakkan syarat agar babak tertentu West Side Story dipotong sebelum filem adaptasi daripada karya muzik klasik Stephen Sondheim itu boleh ditayangkan.

Ekoran syarat yang ditetapkan itu, Walt Disney dan 20th Century Studios selaku penerbitnya memutuskan untuk tidak akan membuat sebarang pemotongan.

Pihak studio menjangkakan filem itu akan dikeluarkan di beberapa negara lain di Timur Tengah.

Walaupun tidak dinyatakan secara terperinci, pengharaman kisah Romeo dan Juliet itu difahamkan kerana watak Anybodys iaitu seorang remaja transgender dan dilakonkan oleh Iris Menas, yang ingin dirinya dikenal pasti sebagai nonbinary.

Nonbinary ialah istilah dirujuk untuk golongan yang mempunyai identiti jantina tidak eksklusif sama ada lelaki atau perempuan.

Arab Saudi sebelum ini menapis banyak filem berdasarkan isu berkaitan LGBTQ, yang menyalahi undang-undang negara terbabit.

Pengeluaran filem Marvel Eternals yang menampilkan wira gay, baru-baru ini turut disekat di sana.

Homoseksualiti secara rasmi adalah haram di Arab Saudi, dan isu LGBTQ dalam filem sering menjadi isu penapisan di rantau itu.

Sementara itu, New York menikmati tayangan perdana West Side Story pada 29 Nov iaitu beberapa hari selepas Sondheim menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 91 tahun.

Spielberg turut menyampaikan ucapan terakhir sebagai penghormatan buat mendiang komposer hebat berkenaan.

“Pertama sekali, hasil kerja Sondheim yang menakjubkan dalam West Side Story (pada 1957) mempopularkan namanya sekali gus mencipta karya yang tanpa sebarang keraguan akan abadi,” katanya.