Joy Revfa perlu kuat untuk anak, tekad bantu ibu tunggal
Beranggapan kesukaran hidup yang tidak pernah berhenti sebagai ujian Allah, usahawan kosmetik sensasi yang pernah terpalit kontroversi dalam perkahwinan dengan seorang penyanyi ketuhanan pada 2017, Joy Revfa, berkata tiada pilihan untuknya selain terus kuat.
Bukan setakat menemui kegagalan dalam perkahwinan keduanya itu, pemilik empayar perniagaan MERVE Cosmetics Malaysia itu juga pernah melangsungkan pertunangan dengan jurulatih kecergasan pada Mac tahun lalu namun ia tidak berakhid dengan penamat indah.
“Sepatutnya kami berkahwin tahun lalu, tapi akhirnya saya nekad membatalkan pertunangan itu kerana rasa tidak serasi dengan dia.
“Saya akur dengan ujian hidup ini. Kita mungkin tak akan dapat apa yang diingini. Tuhan akan menguji tak pernah berhenti. Pilihan yang ada ialah untuk terus kuat," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Joy 'bercinta' dengan perniagaan lebih menenangkan dirinya malah dia juga belum ada niat untuk berkahwin.
"Saya bahagia dengan menumpukan sepenuh kudrat dan hati kepada syarikat dan anak,” katanya.
Ada yang cuba memikat
Akur perjalanan kisah rumah tangga tidak pernah menyebelahi nasibnya, Joy atau nama sebenar Siti Arifah Mohd Amin bagaimanapun berkata dia masih terbuka dan tidak serik untuk menerima jodoh baru sekiranya ditakdirkan begitu.
“Jika Allah hadirkan jodoh lagi selepas ini, insya-Allah saya terbuka menerimanya, tak ada istilah serik kerana manusia dilahirkan berpasangan.
"Saya tak menolak fitrah itu. Kita hanya mampu merancang, selebihnya ketentuan Tuhan," katanya.
Menurut Joy lagi dia memang ada ramai kawan serta kenalan, termasuk dalam lingkungan profesional.
Ada antara mereka, katanya, cuba juga memikatnya tetapi dia enggan membiarkan perasaannya larut buat masa ini.
Diaju persoalan bagaimana dia boleh terus bangkit selepas berdepan dengan kemelut hidup, Joy berkata, perasaan itu didorong keinginan yang sangat kuat dan tanggungjawab untuk membantu lebih ramai wanita termasuk ibu tunggal.
“Saya terus bangkit dan segera teruskan hidup demi anak tunggal. Saya juga ingin membantu lebih ramai wanita termasuk ibu tunggal seperti saya di luar sana agar berjaya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, kehadiran gincu edisi terhad yang juga produk ke-30 dikeluarkannya terus membuatkan Joy tidak menang tangan.
“Jadi jelas perubahan warna gincu yang diketengahkan ini menjadi kelainan dan obsesi terbaru produk syarikat saya,” katanya.
Serentak dengan pelancaran produk berkenaan, Joy mengalu-alukan sesiapa yang terkesan dengan keadaan pandemik Covid-19 untuk memulakan perniagaan dan menjana pendapatan.
“Kami tawarkan perniagaan tanpa modal dan tak perlu memegang stok. Semuanya akan diuruskan oleh ibu pejabat," katanya.
Selain itu, turut dilancarkan ialah #mervetiktokchallenge bermula 6 Dis ni hingga 6 Jan tahun depan.
“Cabaran TikTok ni menawarkan hadiah menarik berupa sebuah telefon bimbit iPhone 13.
"Cuma pastikan tanda pagar #MERVEtiktokchallenge, #Blackrevfa, #MERVEblackisred dan #MERVEcosmetics turut disertakan apabila memuat naik video berkenaan,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai