Kamal, Uqasha tiada niat rahsiakan pernikahan hingga sebulan
Desas desus perkahwinan pelakon Kamal Adli dengan Uqasha Senrose akhirnya terjawab apabila kedua-duanya hari ini mengumumkan mereka sudah pun bernikah.
Kamal dan Uqasha diijabkabulkan pada 5 Nov lalu.
Menurut Kamal , dia selamat bergelar suami kepada Uqasha dalam satu majlis tertutup yang diadakan di sebuah lokasi persendirian di Janda Baik, Bentong, Pahang.
“Kami sudah bernikah pada 5 Nov lalu tapi terpaksa rahsiakan berita perkahwinan daripada peminat kerana nak jaga hati kedua-dua belah pihak.
“Tambahan pula terlalu banyak pindaan tarikh (sebelum ini), bimbang juga sekiranya tarikh itu terpaksa dirombak lagi,” katanya.
Kamal, 35, berkata demikian pada pengumuman liputan eksklusif Walimatulurus Kamal Adli & Uqasha Senrose yang diadakan di sebuah restoran di Kuala Lumpur hari ini.
Mempelai lelaki dinikahkan oleh bapa sendiri oleh pengantin perempuan, Nik Sen Mat Ripin, di sisi jurunikah Izzuddin Abdul Mutalib tepat jam 9.39 pagi.
Pada majlis bertemakan dalam taman itu, Kamal atau nama penuhnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, menyerahkan wang tunai RM22.50 sebagai mas kahwin.
Uqasha, 29, juga menerima tujuh dulang hantaran daripada pihak Kamal yang kemudian dibalas dengan sembilan dulang.
Pasangan itu diraikan hampir 100 tetamu yang terdiri daripada sanak-saudara serta kenalan kedua-dua mempelai.
Ditanya perasaannya selepas bergelar suami, Kamal berkata, dia berasa amat gembira memandangkan tidak lagi terbeban dengan rombakan tarikh pernikahan yang baru.
“Lega sebab dah tak perlu tukar tarikh. Lega dah lepas satu beban. Rasa gembira, bahagia dan kini ada tanggungjawab baru,” katanya.
Terikat hak eksklusif
Terdahulu, pasangan itu mengikat tali pertunangan pada April lalu dalam majlis tertutup di sebuah hotel di ibu negara.
Kamal membuat kejutan apabila melamar Uqasha secara langsung pada siaran Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME 2020) yang berlangsung Dis tahun lalu.
Hubungan cinta mereka mula menjadi perhatian peminat selepas digandingkan dalam sebuah drama arahan Michael Ang berjudul Setelah Terlafaznya Akad.
Uqasha - atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen - pula berterima kasih kerana ahli keluarga menghormati permintaan mereka untuk merahsiakan perkahwinan itu selama sebulan.
Namun katanya, dia juga tiada niat untuk berbuat demikian kerana terikat dengan hak eksklusif Astro untuk perkahwinan berkenaan.
“Alhamdulillah, kami sudah bernikah akhirnya. Selepas beberapa kali perancangan tertunda kerana situasi semasa pandemik Covid-19, ia akhirnya dipermudahkan.
“Hanya 100 orang saja tetamu yang hadir. Terima kasih juga kepada ahli keluarga kami yang menghormati permintaan kami kerana terikat dengan hak eksklusif Astro untuk perkahwinan ini.
“Dengan prosedur operasi standard (SOP) dan tarikh bertukar tukar, memang tertekan jadinya. Nak ajak semua (tetamu) pun terbatas. Memang jemputan terhad,” katanya.
Tiga buah episod istimewa dalam program Walimatulurus Kamal Adli & Uqasha Senrose akan disiarkan secara eksklusif pada 11, 18 dan 25 Disember ini jam 9 malam.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai