Skip to main
Logo Malaysiakini

Elyana tumpu cipta memori baru bersama keluarga lepas bebas kanser

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

"Alhamdulillah," ucap penyanyi Elyana yang bersyukur apabila dia disahkan bebas daripada kanser limfoma tahap empat selepas 11 tahun berjuang melawan penyakit itu.

Elyana yang juga pelakon itu berkongsi berita gembira tersebut dengan peminat dan anggota keluarga yang tidak putus-putus memberikannya sokongan melalui Instagram pagi ini.

“Assalamualaikum rakan dan keluarga di Instagram. Hari ini saya ingin berkongsi rasa gembira dan bersyukur saya dengan anda semua.

“Perjuangan dan penantian selama 11 tahun saya berhasil. Kanser saya hilang.

“Alhamdulillah Ya Allah, terima kasih Kau telah mendengar doa kami,” katanya.

Penyanyi Tak Tercapai Akalmu itu berkata, dia sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan bagaimana perasaan sedang dialaminya ketika ini apabila tubuhnya kembali sihat.

“Tak dapat saya gambarkan perasaan gembira saya.

“Terlalu lama tak dapat rasa gembira ada tubuh yang sihat," katanya.

Pada 2017, Elyana atau nama penuhnya Erneelya Elyana Emrizal, mengumumkan dia menghidap kanser selepas tersingkir daripada program Gegar Vaganza musim keempat.

Elyana mendirikan rumah tangga dan memiliki dua anak iaitu Cinta Sumayyah, 10, dan Cahaya Ramadhani, 2.

Sementara itu, bercakap kepada Malaysiakini, Elyana berkata, perkara pertama sekali yang ingin dilakukan selepas keluar hospital ialah meluangkan masa bersama keluarga.

“Saya belum rancang apa-apa aktiviti tertentu, tapi yang dapat dikongsikan adalah untuk lakukan perkara bermanfaat.

“Saya ingin meluangkan masa berkualiti bersama keluarga, nak cipta memori indah yang baru bersama mereka,” katanya.

Dari segi karier, Elyana berkata, selama ini dia masih bekerja cuma mengikut kesesuaian dan bercadang untuk menghadiahkan peminat dengan buah tangan terbaru.

“Saya masih bekerja walaupun menghidap kanser, cuma ia dibuat ikut keadaan.

“Mungkin selepas ni saya kena tingkatkan lagi hasil kerja dengan apa yang boleh dibuat, misalnya terbitkan single baru,” katanya dalam nada gembira.