Skip to main
Logo Malaysiakini

Roh dinobat filem terbaik FFM31, gondol 6 trofi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Roh arahan Emir Ezwan dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) dalam majlis yang melabuhkan tirainya di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sebentar tadi.

Filem indie genre seram terbitan Kuman Pictures Sdn Bhd itu turut menggondol anugerah dalam lima kategori lain iaitu Pelakon Kanak-Kanak Terbaik yang dimenangi Putri Qaseh, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Junainah M Lojong), Lakon Layar Terbaik (Emir Ezwan), Skor Muzik Asal Terbaik (Reinchez Ng) dan Rekaan Busana Terbaik (Tengku Syahmi).

Kemenangan itu sekali gus melayakkan Roh membawa pulang bukan setakat trofi tetapi geran Dana Kandungan Digital bernilai RM500,000.

Hadiah itu disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

Annuar diiringi timbalannya Zahidi Zainul Abidin, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Mohammad Mentek, Pengerusi Finas Zakaria Abdul Hamid dan CEO Finas Profesor Md Nasir Ibrahim.

Berlatarkan zaman dahulu, Roh mengisahkan kehadiran seorang kanak-kanak perempuan aneh yang membawa ramalan ngeri dan kejadian aneh kepada sebuah keluarga miskin yang tinggal di dalam hutan.

Nam Ron

Turut menjayakan filem itu adalah pelakon Farah Ahmad, Namron, Harith Haziq dan Mhia Farhana.

Antara filem yang memberi saingan hebat pada FFM31 kali ini ialah Sangkar arahan Kabir Bhatia yang berjaya membawa pulang empat trofi menerusi kategori Pengarah terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Zul Ariffin), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Remy Ishak), Penataan Seni Terbaik (Nasrul Asraff Mahzan) dan Tatarias Terbaik (Ella Sandera).

Anugerah Pelakon Wanita Terbaik dimenangi oleh Sinje Lee menerusi The Garden Of Evening Mists.

Anugerah Khas Karyawan Sepanjang Zaman menjadi milik pengarah, pelakon dan penggiat teater Fauziah Nawi. Anugerah Khas Penggiat Belakang Tabir pula dimenangi komposer terkenal Ahmad Nawab.

Tiga filem iaitu Suatu Ketika, Geran dan Headhunter masing-masing dipilih memenangi Anugerah Khas Juri dalam pengumuman awal FFM31 malam ini.

Anugerah Filem Box Office dimenangi oleh Ejen Ali The Movie terbitan bersama Primeworks Studios Sdn Bhd dan Wau Animation Sdn Bhd. Ia turut meraih Anugerah Penataan Bunyi Terbaik oleh Fadhli Abu Shafian, Hakim Kamal dan Shafiq Isa.

Acara FFM31 dengan tema Citra Sinema menyaksikan sebanyak 55 filem dipertandingkan bagi merebut tempat terbaik dalam 28 kategori.

Finas sebelum ini menerima penyertaan 32 buah filem bahasa Melayu, lapan bahasa Mandarin 11 bahasa Tamil, serta empat dalam bahasa-bahasa lain, menjadikan jumlah keseluruhan adalah 55.

FFM31 dianjurkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Acara malam ini dikendalikan gandingan Awal Ashaari dan Sharifah Shahirah manakala acara karpet merah oleh Nazruddin Rahman serta Natasha Chairmaine.

Majlis juga dimeriahkan dengan persembahan ramai artis terkemuka, termasuk M Nasir, Jacyln Victor, Liza Hanim, Haqiem Rusli, Mus May, Syafinaz Selamat dan Ella.

Berikut merupakan senarai penuh pemenang bagi 28 kategori dipertandingkan di FFM31:

  • Filem terbaik: Roh
  • Pengarah terbaik: Khabir Bhatia (Sangkar)
  • Cerita asal terbaik: (The Garden Of Evening Mist)
  • Lakon layar terbaik: Emir Ezwan (Roh)
  • Penyunting Terbaik: Heng Yin Chau (Fly By Night)
  • Sinematografi terbaik: Low Soon Keong (Fly By Night)
  • Pelakon Lelaki Terbaik: Zul Ariffin (Sangkar)
  • Pelakon Wanita Terbaik: Sinje Lee (The Garden Of Evening Mists)
  • Pelakon Kanak-kanak Terbaik: Putri Qaseh (Roh)
  • Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Junainah M Lojong (Roh)
  • Pelakon pembantu lelaki terbaik: Remy Ishak (Sangkar)
  • Pengarah Harapan : Zahir Omar (Fly By Night)
  • Pelakon Wanita Harapan: Fify Azmi (Wira)
  • Pelakon Lelaki Harapan: Anding Indrawani (Headhunter)
  • Skor Muzik Asal Terbaik: Reinchez Ng (Roh)
  • Lagu Tema Terbaik: Ayuhlah (Suatu Ketika)
  • Penataan Bunyi Terbaik: Fadhli Abu Shafian, Hakim Kamal, Shafiq Isa (Ejen Ali The Movie)
  • Penataan Seni Terbaik: Nasrul Asraff Mahzan (Sangkar)
  • Rekaan busana terbaik: Tengku Syahmi (Roh)
  • Tatarias Terbaik: Ella Sandera (Sangkar)
  • Kesan Khas Visual Terbaik: VHQ Post (M) Sdn Bhd (The Garden of Evening Mists)
  • Poster terbaik: Christopher Chua Eng Hui (Walk With Me)
  • Anugerah khas juri 1: Kash Pictures Sdn.Bhd. (Suatu Ketika)
  • Anugerah khas juri 2: Layar Pictures Sdn Bhd (Geran)
  • Anugerah khas juri 3: Indera Asahan Sdn Bhd (Busker)

Tiga Anugerah Khas Juri (yang tidak dipertandingkan) adalah:

  • Anugerah Khas Penggiat Belakang Tadbir: Ahmad Nawab
  • Anugerah Khas Karyawan Sepanjang Zaman: Fauziah Nawi
  • Anugerah filem box office: Ejen Ali The Movie (Primeworks Studios Sdn Bhd dan Wau Animation Sdn Bhd)