Skip to main
Logo Malaysiakini

Cukai hiburan S'gor: Sebenarnya penurunan dari 25% ke 15%

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan Selangor menjelaskan pelaksanaan cukai hiburan sebanyak 15 peratus yang dikenakan terhadap persembahan bertiket sebenarnya penurunan daripada kadar asal.

Exco Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Selangor Borhan Aman Shah menjelaskan pelaksanaan cukai tersebut digambarkan secara salah sehingga kerajaan negeri dilihat seolah-olah mengenakan cukai baru.

“Yang tepat ialah, kerajaan negeri mengurangkan cukai persembahan berbayar daripada 25 peratus menjadi 15 peratus, manakala cukai taman tema menjadi 5 peratus berbanding sebelum ini 25 peratus.

"Apa yang dilakukan ini adalah bagi menyatakan solidariti kerajaan negeri dengan nasib yang menimpa pengusaha-pengusaha seni,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Baru-baru ini, muncul rasa tidak puas hati sesetengah pihak berikuat pengumuman kerajaan negeri mengenakan cukai sebanyak 15 peratus.

Ia mendorong penggiat seni melancarkan memorandum bagi menyatakan bantahan terhadap Menteri Besar Selangor Amirudin Shari

Menurut memorandum tersebut, keadaan industri seni kini lebih parah selepas dua tahun tidak dapat menjalankan aktiviti seperti biasa apabila negara melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) gara-gara Covid-19.

Pada 8 Disember lalu semasa berbahas di Dewan Undangan Negeri Selangor, Amirudin berkata kerajaan negeri kehilangan lebih RM50 juta disebabkan ketiadaan cukai hiburan.

Dia memberi contoh bagaimana panggung wayang yang tidak dibenarkan beroperasi sewaktu PKP dilaksanakan sehingga menjejaskan perolehan kerajaan negeri.

"Pengurangan tersebut akan memberi kesan kepada kemajuan dan hasil negeri," katanya dipetik Bernama semasa menggulung usul Belanjawan Peruntukan Pembangunan 2022.

Borhan berkata sebarang persembahan yang mengenakan tiket atau berbayar sememangnya dikenakan cukai hiburan dengan kadar 25 peratus dan ia dilaksanakan begitu di semua negeri.

“Namun, menginsafi nasib semua kegiatan seni yang terkesan akibat Covid-19, lebih-lebih lagi industri persembahan dan hiburan yang hampir-hampir tidak dapat beroperasi, kerajaan negeri mengecualikan (waive) duti hiburan 25 peratus tersebut, terhad kepada taman tema sahaja untuk tahun 2021,” kata Adun Tanjung Sepat itu.