Skip to main
Logo Malaysiakini

Lepas menang pelakon lelaki terbaik, Zul Ariffin teringat 'amaran' Rosyam Nor

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pelakon Zul Ariffin mengakui dia tidak menjangka akan meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Sangkar.

Kejayaan itu katanya, sekali gus membuatkannya teringat ‘amaran’ pelakon senior Rosyam Nor terhadapnya suatu ketika dulu.

“Tujuh tahun lalu ketika saya memenangi Pelakon Lelaki Harapan, Rosyam Nor sampaikan trofi dan dia kata; kalau kau (Zul Ariffin) tak dapat trofi Pelakon Lelaki Terbaik, aku ketuk kepala kau!” katanya.

Menurutnya, anugerah yang dimenangi begitu sukar untuk diperolehi meskipun dia sering mendambakan gelaran itu sebelum ini.

“Saya sebenarnya baru saja dibenarkan keluar hospital tengah hari tadi (Jumaat lalu) dan terus ke sini.

“Anugerah ini sangat sukar diperolehi dan seperti yang Remy Ishak katakan, ia hampil mustahil untuk dimiliki namun hari ni saya dapat juga bawa pulang trofi ini.

“Selama 13 tahun dalam bidang lakonan, tipulah kalau saya kata tak pernah berangan menang trofi ini, tapi untuk Sangkar, ia sangat istimewa. Lebih-lebih lagi Kabir Bhatia dan Remy turut menang,” katanya.

Zul Ariffin dan Remy Ishak

Zul berkata demikian ketika mengulas kemenangannya pada acara Festival Filem Malaysia ke-31 yang berlangsung di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur kelmarin.

Pemilik nama penuh Zulkifli Ariffin itu sebelum ini pernah menang kategori Pelakon Lelaki Harapan melalui filem Penanggal pada FFM26 pada 2014.

Penantian 15 tahun berakhir

Sementara itu, Remy yang menang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, juga menerusi Sangkar, menyifatkan kemenangan itu sebagai penamat bagi penantian selama 15 tahun.

Namun Remy berkata, pada awal pembabitannya dalam industri perfileman, dia berasa kurang senang jika mengetahui namanya dicalonkan dalam mana-mana anugerah.

“Mungkin pada pandangan segelintir orang, 15 tahun belum cukup lama. Ada yang lebih senior daripada saya.

“Bagaimanapun bagi saya, dalam tempoh 15 tahun ni, macam-macam sudah saya lalui. Saya bekerja keras dari semasa ke semasa, tak kira untuk drama mahupun filem.

“Sebenarnya saya tak suka nama dicalonkan sebab saya nak buat kerja dalam keadaan ikhlas,” katanya.

Kabir Bhatia (tengah)

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Zalimei Ishak, 39, itu berkata, pandangannya mengenai majlis pengiktirafan sebegini akhirnya perlahan-lahan berubah.

“Tapi selepas beberapa kali dicalonkan, ia memberi harapan kepada saya.

“Cuma mungkin sebelum ni bukan rezeki saya, tapi Alhmadulillah akhirnya malam ini saya dapat genggam trofi ni,” katanya.

Sangkar yang diterbitkan Primeworks Studios, Astro Shaw, Infinitus Gold dan MM2 Entertainment juga meraih anugerah bagi tiga lagi kategori iaitu Pengarah Terbaik (Kabir Bhatia), Tatarias Terbaik (Ella Sandera) dan Penataan Seni Terbaik (Nazrul Asraff Mahzan).

Pelakon Wanita Terbaik pula menjadi milik heroin The Garden of Evening Mists, Sinje Lee. Filem berkenaan turut memenangi dua kategori iaitu Cerita Asal Terbaik dan Kesan Khas Visual Terbaik.

Sebanyak 55 buah filem merebut tempat terbaik dalam 28 kategori dipertandingkan. Setiap pemenang menerima hadiah wang tunai RM5,000 berserta trofi.

Bagi pemenang kategori Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik pula, masing-masing menerima wang tunai RM10,000 dan trofi.

Malam kemuncak FFM31 yang bertemakan Citra Sinema dianjurkan Finas dengan sokongan KKMM manakala Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) bertindak selaku rakan strategik Finas mempromosikan FFM31.