Skip to main
Logo Malaysiakini

Bila masa isteri saya berguru dalam hutan? - Nam Ron

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pelakon Nam Ron tampil menafikan laporan sebuah portal berita berhubung tulisan yang menceritakan pengalaman isterinya Junainah Lojong berguru dengan 'wanita misteri' yang tinggal di hutan bagi melakonkan watak dukun dalam filem Roh.

Menerusi hantaran Facebook, Nam Ron berkata laporan mStar  itu tidak benar sama sekali.

"Pandai-pandai saja mStar ni. Hari tu Syamsul Yusof kena sekarang isteri saya pula.

"Bila masa pula isteri saya pergi berguru di dalam hutan? Dia orang interview siapa?

"Bukan click bait saja siap qoute kononnya isteri saya yang cakap," katanya.

Terdahulu Junainah memenangi trofi pelakon pembantu wanita terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-31 baru-baru ini menerusi watak Tok yang dijayakan dalam filem Roh.

Dalam laporan mStar tersebut, Junainah menceritakan pengalamannya menjayakan wataknya itu, antaranya berguru dengan seorang wanita misteri yang tinggal di hutan.

"Sebenarnya Tok ini adalah syaitan yang menyerupai manusia, jadi rujukannya sangat sukar untuk saya, jadi kepada siapa saya nak rujuk?

"Jadi saya jumpa dengan orang tua yang tinggal di kaki gunung, dia hidup dengan hidupan di hutan seorang diri. Dia seperti orang tua tetapi tak tua. Tua yang kuat, misteri," katanya dipetik sebagai berkata.

Sementara itu Nam Ron berkata, Junainah hanya "berguru" dengannya dan sama sekali tidak melakukan perkara mengarut seperti itu.

"Hey mStar, isteri saya berguru dengan saya saja tak adanya nak pergi buat benda mengarut gitu.

"Etika pi mana? Tahulah dah lebih satu juta pengikut. Ceh!" selarnya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi editorial mStar berhubung perkara itu.