Skip to main
Logo Malaysiakini

MAINS hulur bantuan pada Johan Abdullah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Keperitan hidup pelakon kelahiran Christchurch di New Zealand, Johan Abdullah, yang menghidap penyakit Parkinson dan angin ahmar separuh badan mendapat perhatian Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

MAINS melalui hantaran Facebook memaklumkan, Johan, 73, yang sering memegang watak sebagai pegawai tentera atau individu berketurunan Inggeris dalam drama serta filem tempatan, akan diberi bantuan perubatan serta kewangan secara bulanan bagi meringankan bebannya.

“Pegawai MAINS turun menziarahi Johan dan isterinya Seripah Meriam Aboo, 48, serta dua anak mereka yang berusia lima dan 10 tahun di rumah pasangan terbabit di Taman Mantau Indah 2, Seremban, semalam bagi mendapatkan maklumat dan keperluan terkini serta menghulurkan sedikit bantuan wang tunai segera,” kata hantaran itu.

Johan pula berkata dia kini tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bergantung kepada hasil sewaan rumah Seripah Meriam, yang menghidap penyakit cakera tulang belakang teranjak di Salak Tinggi, Selangor serta bantuan jiran tetangga selain anak hasil perkahwinan terdahulu.

"Saya berterima kasih kepada MAINS yang sudi menghulurkan bantuan, terima kasih juga atas jasa mereka yang meringankan beban kami.

"Bantuan diberikan ini merupakan seribu rahmat dan akan digunakan sebaik mungkin,” katanya yang menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaa'far sebulan sekali.

Johan berkata meskipun sudah lama tidak muncul di kaca televisyen, namun masih ramai kenalan artis terutama pelakon veteran menghubungi bertanyakan keadaannya selain menyalurkan bantuan.

"Alhamdulillah… mereka masih menghubungi saya antaranya daripada Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia dan Persatuan Seniman Malaysia yang datang menjenguk dan menghulurkan bantuan… saya sangat menghargainya,” katanya.

Johan memulakan kerjaya lakonan pada 1976 ketika berusia 28 tahun dan pernah membintangi beberapa filem serta drama seperti 29 February, Fenomena dan Leftenan Adnan.

- Bernama