Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Berguru’ dengan wanita misteri: Nam Ron anggap selesai, portal beri penjelasan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pelakon Nam Ron menganggap isu yang dibangkitkan berhubung laporan mStar mengenai isterinya, kini selesai.

Katanya, dia telah dihubungi wartawan yang menulis laporan tersebut dan dimaklumkan berlaku salah faham terhadap tafsiran berkaitan artikel yang dipertikaikannya.

“Semalam wartawan mStar telah menghubungi saya. Salah faham berlaku kerana dia belum menonton filem Roh dan perkataan ‘rujuk’ yang menjadi punca salah faham itu terjadi.

“Saya anggap isu ni telah selesai,” katanya di Instagram hari ini.

Enggan membiarkan perkara itu berpanjangan, Nam Ron berkata, memaafkan kekhilafan orang lain adalah lebih baik dari memeranginya.

“Kerana gerak dan diam itu datang daripada-Nya jua,” katanya.

Terdahulu, Nam Ron tampil menafikan laporan bertajuk “Junainah Lojong ‘berguru’ dengan wanita misteri tinggal di hutan demi hidupkan watak dukun dalam filem Roh”.

Katanya, Junainah atau lebih mesra disapa Jun tidak pernah berguru dengan mana-mana wanita misteri di dalam hutan seperti didakwa portal tersebut.

Sebaliknya kata pemilik nama sebenar Shahili Abdan itu, Jun hanya pernah berguru dengannya dan tidak akan membuat perkara mengarut sebegitu.

Kandungan bukan rekaan - portal

Bagaimanapun, mStar hari ini dalam satu kenyataan berkata, wujud salah faham terhadap perkataan “rujuk” yang diucapkan oleh Jun sewaktu dia diwawancara petugas media di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

“Kandungan yang disiarkan itu bukannya rekaan seperti didakwa sebaliknya ia diungkapkan sendiri oleh puan Junainah dalam satu sidang media sebaik saja diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, FFM-31 pada 10 Disember lalu,” katanya.

Junainah Lojong

Menurut mStar pada sesi itu, Jun mendedahkan agak sukar baginya untuk membawa peranan Tok sehinggalah dia perlu membuat rujukan bagi mendalami watak tersebut dengan mengeluarkan kenyataan berikut:

“Jadi saya rujuk orang tua yang tinggal di kaki gunung... yang tinggal dengan kehidupan di hutan, memang seorang yang tua tetapi tak tua, maksudnya kuat, tua yang kuat, tua yang misteri. Kita boleh nampak dari segi luaran, nampak tua tapi jalan laju, kaki putih atas hitam, cakap moden... jadi itu semua subjektif. Jadi kita tidak meletakkan orang tua di hutan yang macam mana... Itu terletak kepada penonton.”

mStar berkata, pihaknya memahami ungkapan itu mungkin imaginasi atau gambaran Jun untuk membawa watak sedemikian.

Menurut portal itu, perkataan ‘berguru’ dengan dua tanda koma (apostrophe) membawa pengertian bahawa ‘berguru’ bukannya dalam konteks fizikal yang sebenar.