Skip to main
Logo Malaysiakini

Demi Jihad Syaffiq pun korbankan rambut, ketepi rasa ralat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pelakon drama, Syaffiq Sahli, enggan mensia-siakan peluang walaupun mungkin ada yang memandang remeh usahanya hanya mahu berlakon untuk penerbitan di saluran RTM.

Katanya, sebagai pelakon dia percaya disiplin dan komitmen harus diberi keutamaan demi mengekalkan reputasi yang bagus.

Justeru, demi merealisasikan watak Jihad dalam sebuah telefilem dengan judul yang sama di bawah pengarahan Md Idris, Syaffiq menjelaskan, dia sanggup membotakkan kepalanya.

“Saya jarang dapat naskhah begini, kalau penyampaian saya tak bagus, rugilah. Walaupun orang akan cakap: alahai… naskhah RTM saja pun.

“Jadi kenapa? Kalau RTM maka kita sebagai pelakon tak boleh buat bagus-baguskah?

“Usah sia-siakan peluang. Lagipun, semasa berada di set, seseorang pelakon harus mencuba memudahkan kerja orang lain juga,” katanya dalam satu kenyataan.

Berdiet sebelum mula penggambaran

Dia yang popular dengan drama 7 Hari Mencintaiku 2 itu, sekiranya tidak memberi komitmen penuh, apabila naskhah disiarkan pasti ia nampak tidak menarik malahan membuatkan pengarah, pelakon lain serta kru berasa kecewa

“Bagi saya, kalau seseorang pelakon itu dari awal sudah rasa tak boleh bawa satu-satu watak itu, lebih baik jangan ambil.

“Jangan susahkan orang sekeliling. Satu lagi, baca skrip dulu, baru tanya pasal bayaran. Saya orangnya yang begitu,” katanya.

Bukan setakat itu, kata Syaffiq, 35, dia juga reda menolak tawaran berlakon untuk dua naskhah telefilem tempatan lain gara-gara tindakannya membotakkan kepala.

Menurutnya, sebelum ini pengarah tidak menyarankan dia untuk membotakkan kepala walaupun itu memang mengikut tuntutan skrip kerana memahami kesukaran yang bakal dihadapi untuk memenuhi komitmen dengan pengarah lain.

“Kalau ikutkan, ada dua naskhah yang telah saya persetujui untuk bintangi. Satu untuk drama slot Akasia dan satu lagi telefilem.

“Apabila saya teliti betul-betul karektor Jihad ni, memang klimaksnya ialah dia membotakkan kepala.

“Lalu saya fikir, tak mengapalah. Memang ralat bila terpaksa tolak job tapi demi watak Jihad ini, saya tahu diri perlu buat pengorbanan ini,” katanya.

Menurutnya, pengorbanan membotakkan kepala untuk Jihad juga baginya adalah perlu memandangkan skrip menceritakan watak tersebut juga merupakan seorang pesakit kanser.

Kata Syaffiq, dia juga sanggup berdiet sebelum memasuki set penggambaran.

“Sebagai pesakit kanser, mestilah badan perlu kelihatan susut. Pendek kata, makan dengan cara menjamah sedikit saja untuk rasa,” katanya.