Skip to main
Logo Malaysiakini

"Apa punya bodoh orang politik ni pergi salahkan parti lain...'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pelakon utama filem Prebet Sapu, Amerul Affendi hari ini menganggap orang politik yang aktif menyalahkan parti lain ketika rakyat berdepan dengan ujian bencana banjir sebagai "bodoh".

Kata Amerul tindakan tersebut seolah-olah ahli politik terbabit menganggap hanya partinya saja yang berfungsi membantu orang ramai.

"Apa punya bodoh orang politik ni pergi salahkan parti lain.. kira parti ko je lah paling function.

"Nampaknya Muda (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) paling steady masa ni. Buat kerja bantu mangsa banjir saja. Salute!" ciapnya di Twitter petang ini.

Menyusul selepas ciapan itu, kira-kira satu setengah jam kemudian Amerul sekali lagi menciap dengan 'mengajar' bagaimana kerja-kerja kesukarelaan itu sepatutnya dibuat secara ikhlas.

Katanya mereka yang terlibat dalam kerja-kerja amal tidak perlu menanda (tag) dia untuk membuktikan keikhlasan masing-masing.

Malah pelakon Mencari Rahmat itu juga menggunakan analogi menarik bagi menjelaskan bagaimana kerja yang ikhlas itu patut difahami.

"Tak perlulah tag aku untuk nak tunjuk korang pun ada buat kerja juga. Buat saja kerja, nanti orang akan nampak.

"Ikhlaslah. Ikhlas tu seperti ko berak. Lepas berak ada kau fikir-fikirkan najis tu akan ke mana, laluannya macam mana untuk sampai ke tempat sepatutnya? Ada?" ciapnya lagi.

Tidak dapat dipastikan kepada siapa ciapan itu ditujukan. Bagaimanapun semakan Malaysiakini mendapati ciapan awal Amerul mendapat balasan daripada pelbagai pihak.

Antaranya pengguna Twitter yang menunjukkan bagaimana anggota Jabatan Amal Malaysia yang berada bawah Pemuda PAS bekerja membantu mangsa-mangsa banjir.

"Jabatan Amal bawah @DPPMalaysia (Dewan Pemuda PAS Malaysia) juga antara yang paling awal turun, bang," ciap Ben Dawood sebagai menjawab hantaran Amerul.

"Beramal kerana Allah," ciap pengguna dikenali sebagai Ustaz Syawal Rizal pula sambil mengiringi hantaran tersebut dengan sekeping gambar dua anggota Jabatan Amal mengangkat batang pokok.