Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas isteri dakwa pelakon pecah masuk rumah, larikan anak

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas isteri pelakon popular membuat laporan polis mendakwa rumahnya dipecah masuk dan dua anaknya dilarikan oleh aktor terbabit pada 25 Disember lalu.

Laporan polis dibuat di Balai Polis Ulu Bernam di Hulu Selangor pada tarikh yang sama.

Wanita itu mendakwa ada kesan pecah masuk di pintu rumahnya, selain pakaian, buku sekolah serta telefon genggam milik kedua-dua anaknya juga tiada.

“Saya syak ada sesuatu telah berlaku pada rumah saya.

“Saya dah tak sedap hati, periksa pintu rumah ada kesan umpil. Periksa semua barang anak dah tak ada. Kad pengenalan, telefon bimbit mereka pun hilang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Wanita itu turut mendedahkan dia dan bekas suaminya itu kini dalam proses perbicaraan untuk tuntutan nafkah anak.

“Sekarang saya dalam perbicaraan, kes pun tengah berlangsung. Selama ni sayalah yang bagi makan, tempat tinggal dan yang menyekolahkan anak-anak.

“Dia memang tak ada bagi nafkah anak sangat. Kalau bagi pun boleh dikira dengan jari, sejak kami bercerai pada 2010 sampai sekarang.

“Saya juga tak sihat dan tak boleh nak kerja lebih-lebih,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, disebabkan hal itu, dia terpaksa meminta bantuan persekolahan daripada pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“MAIWP tanggung semua persekolahan anak saya sejak dua tahun ini,” katanya.

Malaysiakini sudah cuba menghubungi polis Hulu Selangor untuk mengesahkan laporan berhubung kejadian itu.