Skip to main
Logo Malaysiakini

Langgar SOP: Polis Bentong kesan individu hadir majlis resepsi selebriti

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis sedang mengesan dan mengenal pasti semua individu yang hadir pada majlis perkahwinan pasangan selebriti terkenal di Genting Highlands baru-baru ini.

Langkah itu dibuat susulan majlis resepsi perkahwinan berkenaan dipercayaio melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Zaiham Mohd Kahar, berkata hasil siasatan awal berdasarkan klip video berdurasi 41 saat yang tular di media sosial sejak semalam, tetamu yang hadir tidak memakai pelitup muka serta tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

“Pada 27 Dis jam kira-kira 10.30 malam polis telah menerima laporan berkaitan satu video berdurasi 41 saat tular dimuat naik dalam laman sesawang Facebook memaparkan majlis perkahwinan pasangan selebriti terkenal di sebuah villa di Genting Highlands, Bentong, Pahang.

“Keadaan tersebut dilihat melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4,” katanya.

Menurut Zaiham, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bentong telah membuka kertas siasatan berikutan penularan insiden berkenaan.

Katanya kes disiasat di bawah perkara 17 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

"Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden ini serta menasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara," katanya.

Sebelum ini, pasangan suami isteri, Neelofa dan Haris Ismail dan 20 anggota keluarganya dikenakan kompaun dengan jumlah keseluruhan RM60,000 berikutan majlis perkahwinan mereka pada 27 Mac lalu yang didapati tidak mengikut SOP.