Skip to main
Logo Malaysiakini

BELASUNGKAWA | Rebel, Tuhan dan muzik

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tanggal 25 Disember disambut sebagai Hari Krismas, dikatakan sempena hari kelahiran Jesus, yang penting bagi umat Kristian. Hari itu dinamakan sebagai Hari Natal, bererti hari kelahiran.

Sementara pada malam Krismas lepas, pada jam 11.42 malam, beberapa minit sebelum bunga api sambutan Hari Krismas meletup di langit Kuala Lumpur, Meor Pesta Jiwa, seorang busker, sekali gus penghibur tetap di KTM KL Sentral, Kuala Lumpur menghembuskan nafas terakhir.

Meor pergi selepas bertarung beberapa hari dalam 'tidurnya' akibat Covid-19.

Saya mengenali Bang Meor sangat singkat sebenarnya. Saya tak rasa pula saya seorang sahabat akrabnya. Sebenarnya jika diikutkan, dari sudut umur - saya baru tahu - beliau wafat pada umur 54, tua dua tahun daripada umur bapa mertua saya.

Jadi sepatutnya saya memanggil beliau sebagai "pak" Meor. Tapi walaupun usia kami berjarak 21 tahun, beliau tidak kekok meramahi dan mengopi dengan anak muda yang masih mentah dalam segala hal.

Penulis (kanan) dan Meor.

Dan ramai lagi anak muda yang selalu jadi kekaguman dan topik bicaranya di Facebook, sebagai pembakar semangat generasi muda, supaya terus hidup, melawan dan bertahan di kota yang penuh lumpur ini

Saya mengenali beliau dan nama beliau sudah lama. Juga memiliki buku-buku beliau terbitan Merpati Jingga terlebih dahulu sebelum bersapa dengan beliau.

Jujur dibuka rahsia, ketika lalu ke KL Sentral - untuk pos buku di Pos Laju Brickfields - sebelum bersapa dan berborak, saya jadi segan dengannya. Kadang tidak punyai sen untuk menghulur, saya memilih mengelak daripada bertatap muka dan mata.

Ada juga di ketika yang lain, saya memilih laluan yang lain, supaya tidak terserempak. Kadang jika mata bertembung secara tak sengaja, hanya mampu mengangguk dari jauh. Tetapi selepas bersapa dan melepak bersama, sebenarnya tiada apa-apa masalah pun.

Bang Meor sangat OK dan faham dengan situasi ini. Dia maklum sangat, anak muda di Kuala Lumpur, berapa sen sangat yang ada dalam poket. Dia sendiri pernah jadi anak muda. Pernah pokai juga suatu masa dulu.

Yang dia kesalkan orang-orang yang berdasi - pekerjaan yang memerlukan anda memakai tali leher - yang lalu lalang, hanya nak mendengar lagu secara percuma dan menyumbangkan sehelai dua helai not biru atau yang hanya sekadar mengambil gambar tanpa menyumbang apa-apa.

Rebel

Bang Meor bukan seorang rebel anarkis secara buta. Atau rebel-rebelan ikut-ikutan. Beliau berkahwin dan berkeluarga. Tetapi tetap rebel dengan caranya yang tersendiri. Menanggung keluarga dengan minat atau passion yang mendalam dengan kudrat dan keringat sendiri juga adalah suatu rebel. Pemberontakan.

Beliau tidak mencari kerja dengan orang politik untuk hidup. Beliau tidak mengemis seperti kebanyakan orang yang sihat wal afiat di Kuala Lumpur. Itu juga rebel. Anak-anaknya juga bukan sedikit, termasuk Adam yang OKU Autisme. Beliau rebel, memberontak mencari nafkhah dan menyara hidup dengan minatnya yang satu itu.

Beliau tidak bermain-main dengan seni yang sudah mendarah daging dengan beliau. Walhal jika diikutkan sejarahnya, adik beradiknya sendiri bukan calang-calang nama. Tetapi beliau tetap memilih jalan sebagai busker untuk rebel dan berkarya. Beliau memilih untuk menjadi seniman jalanan, meski pernah ditahan atas sebab penampilan yang rebel.

Daripada muda sehingga dewasa, berkahwin, berkeluarga, sehingga hujung nyawa, beliau memilih terjun dalam perkelanaan rebelnya dengan cinta dan citanya pada muzik di lembah jalanan. Beliau menerbitkan album secara indie (dia lebih gemarkan terma ini berbanding mandiri, walhal dia lebih mandiri berbanding pemuzik-pemuzik indie lain).

Sesungguhnya, tidak ramai orang mampu berbuat sepertinya. Ramai sahaja mampu bercakap tentang 'passion' dan 'rebel' tetapi tidak ramai yang mampu hidup dengan apa yang dikatakannya itu. Sementara Meor Pesta Jiwa adalah sebaliknya.

Tuhan

Hal-hal kerohanian, spiritual dan ketuhanan antara tema Meor Pesta Jiwa sama ada di Facebook, mahupun ketika mengopi dengannya. Sesekali tema sebegini pernah menjengah dalam lagunya. Dikatakan beliau pro-Wahdatul Wujud. Saya tidak menafikan atau membenarkan. Kerana fahaman ini agak abstrak untuk dijelaskan.

Tetapi yang pastinya beliau bukan seorang yang terkongkong dalam fahaman Islam arus perdana Ahli Sunnah Wal Jamaah, apatah lagi Salafi Wahabi yang lebih keras. Pencarian dan pemahaman agamanya "makrifat".

Cuma beliau tidak mahu pendirian dan pemahaman peribadinya menjadi kontroversi dan menganggu ketenteraman awam seperti Lepat. Beliau lebih tenang begitu. Beliau tidak setuju dengan hebahan pegangan yang kontroversial. Tetapi beliau sendiri ada pegangannya sendiri.

Dia ada keluarga untuk difikirkan. Dia bukan seorang yang bebas lepas, nothing to lose. Dia berjuang untuk dirinya dan keluarganya dengan cara begitu. Bahkan dia juga mahukan nasib pemuzik seperti busker terbela.

Kalau pemahaman kita adalah tidak konvensional, dan bertentangan dengan arus perdana, adakah seluruh dunia harus tahu dan dipaksakan mengikut fahaman kita?

Saya nampak Bang Meor tidak begitu, meskipun dia juga kagum pada Kassim Ahmad dan Dr.Nasir Hashim, kedua-dua tokoh sosialis tanah air yang pernah menjadi ahli Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM).

Muzik

Sesekali beliau mengkritik M Nasir di status Facebooknya. Sepenuh-penuh masanya dihabiskan dalam dunia muzik. Saya bukan seorang ahli muzik. Saya hanya berminat mengulas tentang 'passion' beliau dengan bidang yang digelutinya itu.

Saya mendengar lagu-lagi radikal yang dimainkan beliau di acara Maskara, baik “Syuhada Memali”, mahupun “Membenarkan Kebodohan”. Kita dapat rasakan semangat resah yang menggelora dan pemberontakan yang beliau zahirkan melalui lagu-lagu tersebut.

Walaupun kemudianya, saya mendengar sendiri beliau sedikit skeptikal dengan naratif Memali yang dimainkan, yang berbaur ekstremis, beliau tetap masih meneruskan perjuangannya dalam muzik.

Kebangkitan golongan literalis akhir-akhir ini begitu menyesakkan. Mereka yang anti-muzik, menganggap muzik ini adalah pengaruh syaitan.

Sebaliknya Bang Meor sedikit sebanyak menyelitkan mesej-mesej ketenangan, ketuhanan dalam lagu-lagu yang dinyanyikannya. Beliau tidak begitu mempedulikan hal-hal sebegitu. Beliau sangat maklum itu adalah perangai tipikal kaum agamawan Islam literal yang anti pada muzik dan gitar.

Saya fikir persembahan beliau yang sedap didengar ialah bila beliau dijemput menyanyikan lagu (empat lagu) di acara KUBU5TAHUN, 2019. Lagu penyanyi rakyat Indonesia, Iwan Fals antara yang dimainkan beliau, selain lagu “Hidup untuk mati”'. Ini berlaku sebelum Covid-19.

Ini adalah penyataan jujur. Sebab bila Covid-19 datang, dan kita semua dikurung dalam PKP berbulan-bulan lama, persembahannya dan lagunya di rumah, bagi saya kurang menyengat berbanding yang saya dengar sebelumnya. Antaranya di acara Maskara dan di acara KUBU itu.

Ya, Covid-19 dan PKP nyata melemaskan dan menyesakkan ramai orang, tidak terkecuali Bang Meor Pesta Jiwa. Saya tidak berapa percaya Tuhan yang dikatakan Maha Agung ini anti pada hiburan dan anti pada muzik.

Buktinya, semasa Bang Meor sakit di hospital, ditidurkan ratusan orang bersedih dan berkongsi kesedihan tersebut di alam maya. Sehinggalah pada hari beliau wafat, begitu ramai orang bersedih.

Baik kawan-kawannya dalam scene muzik juga pendengar muzik yang tidak tahu apa-apa tentang muzik -seperti saya- turut menangisi kepergiannya.

Dan saya pasti selepas dari ini, mereka yang pernah melalui KL Sentral dalam puluhan tahun kebelakangan ini, akan merasai kekosongan yang ditinggalkan oleh Bang Meor.

Selamat jalan Bang. Moga kita akan berjumpa lagi di alam sana, mendengar Bang menyanyi dan mengopi bersama seperti kita di dunia sebelum ini.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.