Skip to main
Logo Malaysiakini

Selepas bintangi filem Hong Kong, nama Rosyam makin dikenali kaum Cina

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mengakui usia bukan penghalang, Rosyam Nor berbesar hati kerana pembabitannya dalam filem Hong Kong, G Storm membuatkan namanya semakin dikenali peminat bukan Melayu.

Kata Rosyam, dia juga memperoleh tuah tidak disangka selepas namanya menghiasi dada akhbar berlainan bahasa dan video promosi filem G Storm disiarkan di YouTube.

Susulan itu, menurutnya, usaha untuk membantu membersihkan kediaman mangsa banjir baru-baru ini juga dipermudahkan apabila seorang pengusaha alat pancutan air (water jet) tiba-tiba memberikan peralatan itu secara percuma.

“Selepas muncul melalui filem India, Kabali bersama Superstar Rajinikanth, nama saya mula dikenali dalam kalangan peminat India. Dan bila diberi kesempatan membintangi filem Hong Kong, saya dapati masyarakat Cina pula mula mengenali saya.

“Terbaru, seorang pengusaha water jet bertanyakan sama ada sayalah pelakon yang membintangi G Storm bersama Louis Koo kerana dia pernah membaca siaran akhbar mengenai filem tersebut.

“Mula mula saya datang nak membeli (water jet), tapi selepas dia menyedari sayalah yang membintangi naskhah tersebut di samping Louis, pengusaha terbabit terus berikan 19 alat pancutan air percuma,” katanya.

Menurut pelakon KL Menjerit itu, dia bersyukur walaupun usianya sudah menjangkau 50-an, namanya masih dikenali dan kini mendapat reaksi positif masyarakat Cina pula.

Justeru katanya pelakon lain wajar memahami bahawa membina jenama sendiri itu memang penting dan wajar disesuaikan mengikut kesesuaian masa.

Harapannya, pengalaman yang dikecapi sejak namanya diketengahkan melalui Gila Gila Remaja pada 1986 hingga mencipta nama di persada luar dapat dicontohi generasi pelakon baru tanah air.

“Saya amat menjaga dan 'berniaga' nama saya. Pada rakan rakan dan pelakon muda, saya mahu mereka faham bahawa jenama tu penting dan ni bukan pasal duit.

“Bahawa suatu ketika nanti saya nak mereka faham untuk hidupkan industri filem Malaysia ni bukan hanya sewaktu muda saja tapi hingga ke usia tua,” katanya.

Rosyam berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana filem G Storm di sebuah kompleks beli belah di Petaling Jaya semalam.

Filem aksi thriller yang mendapat arahan David Lam itu berkisahkan seorang penyiasat Hong Kong Independent Commission Against Corruption (ICAC), William Luk, watak dilakonkan Louis menyiasat kes di Jabatan Imigresen yang dikaitkan dengan pemerdagangan manusia antarabangsa.

Rosyam, 54, diberi kepercayaan untuk membawa watak sebagai ketua kumpulan pemerdagangan manusia antarabangsa yang dikenali sebagai King.

G Storm yang turut dijayakan Julian Cheung, Kevin Cheng, Jessica Hsuan, Bosco Wong dan Michael Tse dijadual menjengah pawagam pada 31 Disember ini.

Berkongsi lanjut misi bantuan banjir, Rosyam berkata, dia menggerakkan ahli pasukan kira-kira 40 orang untuk melakukan kerja pembersihan di kediaman mangsa.

Katanya, dia tergerak hati untuk meringankan penderitaan mereka selepas sebak membaca luahan perasaan pihak yang terjejas dan mengharapkan bantuan di media sosial.

“Ia sungguh menyayat hati terutama bila melawat lokasi bencana di Hulu Langat. Saya dapati pasca banjir, ada kediaman yang bercampur air kumbahan dan longkang,” katanya.

Bagi Rosyam, sangat penting untuk masyarakat saling membantu di saat genting, dan dia yakin itulah semangat dan kekuatan yang mampu rakyat negara ini hulurkan tanpa memilih siapa pun.

“Semua rakyat Malaysia prihatin dengan bencana, itu kekuatan kita.

“Saya berharap kita dapat fikirkan jalan terbaik untuk membantu dan menyumbang dari segi peralatan kerana ada mangsa banjir yang mengalami kemusnahan mutlak (total lost),” katanya.