Skip to main
Logo Malaysiakini

Saat Kau Takluk Cinta Ini tak perlu gimik untuk sohor kini

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tanpa perlu merancang sebarang babak tular drama Saat Kau Takluk Cinta Ini menuai hasil cukup positif daripada penonton, kata penerbitnya, Jaja Ishak.

Naskhah terbitan Kembara Sufi Sdn Bhd yang ditayangkan sejak 20 Dis lalu menerusi slot Samarinda TV3 itu, menurutnya, diterima baik oleh penonton tanpa terpalit dengan apa-apa kontroversi.

“Ketika negara berdepan dengan musibah banjir, masih ada lagi yang memberikan sokongan kepada drama Saat Kau Takluk Cinta Ini.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima cukup baik dan saya gembira dengan sambutan peminat,” katanya.

Menurut Jaja, dia memang sangat mementingkan kualiti sebagai bahan utama penerbitan malah mengelak untuk mengadakan gimik seperti digunakan segelintir produksi.

Jaja Ishak

“Saya sebenarnya suka rating meningkat secara semula jadi. Saya orang kampung, tak pandai nak cipta kontroversi.

“Saya harap rating sesebuah karya menjadi tinggi tanpa perlu ke arah yang bukan-bukan.

“Tak guna kalau sesebuah karya tu gempak dari sudut gimik tapi hasilnya tak memuaskan. Kita kena utamakan kualiti drama terlebih dulu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini di ibu kota.

Semangat jadi bertambah

Drama arahan Zamri Zakaria itu menampilkan gandingan Idris Khan dan Intan Najuwa serta turut dijayakan oleh Syazwan Zulkifly, Shakilla Khoriri, Wafariena Roslan, Wan Maimunah, Zarynn Min, Edika Yusof, Jasmin Hamid, Raja Azmi, Raja Baizura bersama Aleza Shadan.

Saat Kau Takluk Cinta Ini berkisahkan watak Haira Melissa yang dibuang keluarganya kerana dituduh merampas tunang adik tirinya. Dia kemudian membawa diri ke sebuah kampung dan ketika berteduh di sebuah pondok, Haira bertemu dengan Rahhal.

Rahhal ialah pemuda kampung yang berkelulusan luar negara, namun terpaksa mengorbankan cita-citanya apabila ibunya mengalami strok.

Haira tersentuh dengan keikhlasan Rahhal yang sering mengambil berat tentangnya. Apabila Rahhal melamarnya, Haira menerima tetapi dia sebenarnya mempunyai sebuah rahsia yang disimpan rapi.

Pada masa sama, Jaja berkata, dia percaya dengan aturan ditetapkan Allah SWT mengenai penerimaan penonton terhadap sesebuah naskhah.

“Saya hanya biarkan seadanya. Ada drama tak tular di media sosial tapi ia tetap diterima baik oleh penonton dan mencatat rating yang tinggi.

“Secara tak langsung, stesen televisyen akan terus beri kepercayaan kepada kita,” katanya.

Jaja turut mengulas cabaran perlu ditempuhi untuk menyiapkan drama 15 episod yang diadaptasi daripada novel berjudul sama itu.

“Banyak cabaran yang kita hadapi untuk menyiapkan drama ni. Tapi saya bersyukur kerana dapat menyiapkan naskhah ni seperti yang dijadualkan.

“Melihatkan sambutan hangat daripada peminat, itu menambahkan lagi semangat kami,” katanya.