ULASAN | Hentikan resahmu wahai pejuang bahasa
ULASAN | Sehari dua ini pejuang bahasa, sarjana, cendekiawan, sasterawan dan badan penulis berteraskan bahasa Melayu agak terkedu apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa sekolah vernakular tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Mereka tidak dapat berkata apa-apa lagi kerana keputusan mahkamah adalah jelas ia dibuat berlandaskan peruntukan dalam undang-undang tertinggi yang dipakai di negara ini.
Kita tunggu adakah kes ini akan benar-benar dibawa ke Mahkamah Rayuan pula atau sekadar berhenti di mahkamah tinggi saja.
Bagi mereka yang rasis, eloklah faham bahawa keputusan mahkamah dibuat oleh hakim berlandaskan realiti perlembagaan dan undang-undang. DAP, Lim Kit Siang dan Dr Mahathir Mohamad tidak terbabit dalam hal ini.
Menteri alam sekitar yang nampaknya tidak begitu pandai berbahasa orang putih juga tidak ada kena-mengena dengan isu ini.
Sejak beberapa tahun lalu pejuang bahasa, sarjana dan sasterawan agak agresif berkunjung ke pejabat pimpinan politik tertentu untuk melobi isu bahasa, budaya dan hak Melayu.
Ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara dengan mandat yang diterima mereka sejak Mei 2018, kumpulan terbabit berkali-kali melobi untuk menemui Mahathir tapi gagal.
Akhirnya mereka dapat menemui Anwar Ibrahim - yang kononnya 'bakal' perdana menteri - di Petaling Jaya.
Dihukum mahkamah sejarah
Selepas Perikatan Nasional (PN) berkuasa golongan yang sama juga cuba menghadap perdana menteri yang baru, Muhyiddin Yassin, tetapi gagal. Akhirnya mereka sekadar berjumpa dan minum teh bersama Saifuddin Abdullah tanpa hasil positif.
Isu bahasa dan hak pengantar utama sudah lama menjadi duri dalam daging rakyat Malaysia. Perlembagaan dengan jelas meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama tetapi tidak ada klausa yang menghalang bahasa lain di sekolah.
Kita arif sekolah persendirian dan sekolah jenis kebangsaan dibina dan dimajukan oleh orang perseorangan dan swasta.
Mereka bebas menggunakan bahasa lain kerana tidak terikat oleh perlembagaan.
Di pentas politik, isu bahasa pernah menjadi gelombang yang menakutkan apabila dilaungkan untuk memancing undi. Sasterawan Negara Usman Awang dengan Keranda 152 mempertikaikan iltizam siasah yang menghancurkan kedaulatan bahasa Melayu.
Orang politik secara rakus mengisytiharkan kemerdekaan negara dengan tangan yang terikat. Isu bahasa, budaya, pemilikan ekonomi anak jajahan British amat longgar namun kemerdekaan diraih semata-mata untuk mengejar jawatan daripada penjajah di Tanah Melayu.
Ketua Pembangkang dan Presiden PAS, Asri Muda, pernah memberi amaran di Parlimen bahawa Umno akan dihukum oleh 'mahkamah sejarah' kerana membenarkan bahasa asing dipergunakan secara meluas di sektor swasta.
Pada 1978 isu Universiti Merdeka hangat diperkatakan apabila pihak swasta mahu menubuhkan sebuah universiti yang bahasa utamanya bukan bahasa Melayu.
Segelintir ahli Umno dan PAS membantah. Namun hari ini mereka tidak lagi bersuara kerana banyak universiti dan kolej swasta di Malaysia sudah mengutamakan bahasa Inggeris dan Mandarin.
Bukan untuk tujuan rasmi
Hari ini Umno, PAS dan Bersatu sudah tidak ada masa untuk bercakap isu bahasa. Mereka lebih sibuk dengan isu kuasa dan bagaimana menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Mereka tega bercakap tentang Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional. Bahasa terus menjadi isu sampingan dalam kalendar politik Malaysia kerana kuasa. Dan kekuasaanlah yang lebih medominasi pada zaman serakah ini.
PH pula lebih terarah untuk melihat kelemahan diri kerana yakin Anwar semakin sukar menjawat tampuk kuasa. Isu bahasa bukan agenda pembangkang kerana kelangsungan politik pelbagai kaum menjadi keutamaan.
MCA yang mendapat sedikit nafas di bawah kerajaan PN memberi reaksi jujur. Presidennya, Wee Ka Siong, berkata setiap warganegara Malaysia dapat terus menikmati hak dalam pendidikan di sekolah vernakular tanpa ragu-ragu lagi.
“MCA akan terus memelihara kepelbagaian di negara ini bagi memastikan pendidikan vernakular tidak terancam,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu lalu memutuskan bahawa kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah terbabit adalah sah serta berperlembagaan.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan penggunaan bahasa pengantar yang bukan bahasa Melayu untuk pengajaran di sekolah vernakular bukanlah bagi tujuan rasmi.
Justeru katanya ia tidak bercanggah dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan.
Ketika ini, terdapat lebih 1,800 sekolah vernakular di seluruh negara dengan kira-kira setengah juta pelajar daripada komposisi kaum yang berbeza secara keseluruhan.
Bahasa sentiasa jadi alat saja
Hakim berpendapat penggunaan bahasa terbabit tidak bercanggah dengan perlembagaan dan dilindungi di bawah pengecualian dalam Perkara 152(1) (a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan.
“Tafsiran yang benar dan tepat kesemua proviso ini dalam Perkara 152(1) tidak menghalang penubuhan dan penyelenggaraan sekolah vernakular sebagai sekolah jenis kebangsaan yang turut menggunakan kurikulum kebangsaan seperti yang diterima pakai oleh semua sekolah dalam Sistem Pendidikan Negara,” katanya.
Sehingga kini pimpinan kerajaan belum mengulas keputusan mahkamah. Ismail Sabri Yaakob mungkin terlalu sibuk menyodok tanah di kawasan banjir sebagai hiasan kalendar tahun baru.
Rina Harun juga sibuk dengan water jet kerana banyak pusat pemindahan sementara sedang dibina di Kelantan dan Teregganu yang terkesan dengan banjir.
Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi sedang sibuk menghitung hari.
Kes mahkamah yang tidak memihak kepada mereka hanya membuka laluan lebih luas ke Sungai Buloh.
Muhyiddin dan timbalannya Ahmad Faizal Azumu mungkin sedang tekun membincang hala tuju mereka bersama ulama bertaraf dunia bagi menghadapi PRU tidak lama lagi.
Ahli bahasa, sasterawan, persatuan penulis, sarjana, cendekiawan dan cendawan... insaflah.
Isu bahasa tidak pernah mati seperti juga sejarah politik yang sentiasa memperalatkan bahasa dan kaum untuk kepentingan siasah.
Kepada para pembodek yang cuba mendekati ahli politik, eloklah insaf bahawa dalam kasta siasah, yang ada hanya korporat dan kapitalis, bukan sasterawan dan bukan budayawan!
IMLAN ADABI ialah sasterawan dan mantan penulis khas Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai