Syukur dijanjikan bantuan, cuma Ebby Yus minta maklumat lengkap
Ebby Yus menyatakan rasa syukurnya selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Bantuan Bencana Banjir Keluarga Malaysia bagi meringankan beban orang ramai yang terjejas, kelmarin.
Kata pelakon itu, ramai orang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini, justeru bantuan kewangan dihulurkan kerajaan sedikit sebanyak dapat membantu mereka memulakan semula kehidupan.
“Memang ia tindakan yang baik dan bagus daripada perdana menteri.
“Saya pun tidaklah mengharapkan mendapat bantuan penuh, tapi sekurang-kurangnya jika diberi separuh daripada kos pembinaan semula rumah, itu dah syukur juga,” katanya.
Bantuan itu diumum Ismail Sabri semasa menyampaikan perutusan tahun baru 2022 dan disediakan kerajaan kepada mangsa banjir yang rumah mereka musnah dan tidak boleh diduduki.
Kata perdana menteri bantuan tersebut diberikan bertujuan membantu pembinaan kediaman dengan kos sehingga RM56,000 bagi setiap unit rumah untuk dibina baru.
Menurut Ebby Yus, bantuan yang diberi - walaupun separuh - pun sudah dikira membantu juga.
“Ditambah bagi mangsa banjir yang sudah kehilangan rumah. Macam situasi saya, lagilah tanah dihakis dan separuh daripadanya sudah masuk ke sungai.
“Jadi, kalau diikutkan agak memakan belanja besar kerana nak kena ukur dan tambak tanah itu semula," katanya semalam.
Cuma tinggal stor, bilik air
Dalam bencana banjir besar yang melanda beberapa kawasan di Selangor pada 18 Dis lalu, Ebby mengalami kerugian lebih RM200,000 apabila rumah baru dibinanya di Kampung Paya Lebar, Hulu Langat, sejak empat tahun lalu musnah dihanyutkan bah.
Kediaman dua tingkat itu dibeli secara bersama abang pelakon terbabit dan dibangunkan secara berperingkat-peringkat mengikut modal yang dikumpul melalui hasil kerjaya seninya.
Sebelum dilanda bah tersebut rumah impian Ebby Yus itu hanya tinggal 10 peratus saja lagi untuk siap sepenuhnya.
Menurut pemilik nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid itu, dia juga sudah merancang masuk menginap ke kediaman tersebut pada bulan ini namun hasrat berkenaan tidak kesampaian apabila rumah berkenaan musnah.
Ebby Yus, 56, berkata selepas dihanyutkan bah, hanya bilik air dan stor bangunan rumahnya yang selamat.
Persoalan sekarang, katanya, ialah ramai orang masih tidak tahu bagaimana cara untuk memohon bantuan.
Menurutnya, setakat membuat pengumuman kerajaan akan beri bantuan saja tidak mencukupi terutama tanpa memaklumkan dengan lengkap prosedur yang betul untuk mendapatkannya.
“Jadi, penjelasan yang terperinci diperlukan untuk kami (mangsa banjir) mudah membuat permohonan nanti,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai