Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah California tolak saman 'bayi' Nirvana

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hakim Mahkamah Daerah California menolak saman seorang lelaki yang mendakwa dia dieksploitasi secara seksual apabila gambar telanjangnya sewaktu bayi dijadikan kulit album kumpulan Nirvana pada 1991.

Hakim Fernando Olguin menolak tuntutan Spencer Elden selepas dia mendapati peguam plaintif gagal mengemukakan kertas bantahan sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Peguam Elden sepatutnya menyerahkan dokumen itu pada bulan lalu.

Olguin memberi Elden tempoh hingga 13 Jan ini untuk Elden untuk memfailkan aduan pindaan bagi menjelaskan rasa tidak puas hatinya sehingga dia mengemukakan saman tersebut.

Dalam tuntutan difailkan pada Ogos tahun lalu, Elden, 30, mendakwa dia menderita seumur hidup kerana gambar pada kulit album Nevermind oleh Nirvana itu. 

Dalam imej ikonik tersebut Elden sebagai bayi digambarkan berada dalam air sambil cuba menggapai wang kertas yang tersangkut pada mata kail dalam kolam renang.

Menurut Reuters, imej itu dirakam sewaktu Elden berusia empat bulan.

Nevermind adalah album studio kedua Nirvana yang diiktiraf sebagai album rock terbaik sepanjang zaman.

Ia mengandungi lagu-lagu popular kumpulan legenda berkenaan seperti Smells Like Teen Spirit dan Lithium. Ia menempa kejayaan besar apabila terjual lebih 30 juta unit di seluruh dunia.

Elden menuntut ganti rugi AS$150,000 (RM629,000) daripada 15 defendan termasuk Universal Music Group, jurugambar Kirk Weddle, dua bekas anggota Nirvana yang masih hidup, Dave Grohl dan Krist Novoselic, Courtney Love iaitu balu kepada Kurt Cobain dan Cobain yang meninggal dunia.

Cobain mengalami masalah ketagihan heroin dan kesihatan seperti kemurungan sebelum ditemukan meninggal dunia pada 5 April 1994.

Dalam dokumen yang dikemukakan defendan bagi memohon mahkamah mengetepikan saman Elden, mereka berkata, dakwaan imej yang diklasifikasi sebagai pornografi kanak-kanak itu adalah pada luaran saja, malah tidak serius.

Defendan juga berkata Elden tidak boleh mendakwa dirinya sebagai mangsa selepas menghabiskan tiga dekad mengambil untung sebagai 'bayi' Nirvana.

Dia pernah mencipta semula imej berkenaan apabila dewasa termasuk mencacah tatu Nevermind pada dadanya.