Skip to main
Logo Malaysiakini

Hael jelaskan sebab pernah kunci mulut isu didakwa masuk kelab gay

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hael Husaini mengakui tindakannya mengunci mulut apabila timbul dakwaan dia berhibur di sebuah kelab gay sewaktu di Korea Selatan pada Nov lalu disebabkan komitmennya menjayakan sebuah program hiburan yang belum boleh didedahkan ketika itu.

Penyanyi dan komposer itu berkata, dia tidak menolak kemungkinan dakwaan tersebut timbul berikutan banyak pihak tidak pasti tujuan sebenar dia melawat negara tersebut.

“Pada ketika tu, saya dan beberapa peserta program Master In The House Malaysia tidak dapat mendedahkan kepada umum mengapa kami berada di Korea Selatan.

“Tapi perkara tu sudah terungkai hari ini (semalam) apabila saya diumumkan antara peserta program anjuran TV3 ni,” katanya.

Pemilik nama sebenar Hal Husaini Razmi itu juga tenang memberikan jawapan sewaktu dia terus diasak soalan berkaitan tuduhan tersebut.

Penyanyi Kelentang Kelentong itu menjelaskan, dia memilih untuk tidak memberi respons kerana enggan membiarkan isu berkenaan menjadi punca dia hilang konsentrasi kepada kerjaya.

“Saya perlu fokus pada aktiviti yang dijalankan sepanjang berada di sana. Saya juga perlu elak emosi daripada terganggu dengan isu tersebut,” katanya.

Serah kepada pihak pengurusan

Hael berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman Master In The House yang diadakan di Petaling Jaya semalam.

Turut hadir tiga selebriti lain yang menyertai program itu - Sharifah Rose, Scha Elinnea dan Meyrasam. Seorang lagi peserta Andi Bernadee tidak dapat hadir kerana menjalani kuarantin kendiri selepas mengikuti penggambaran di London.

Program menampilkan dua master Korea dan lima master Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang itu dijadual bersiaran setiap Sabtu mulai 15 Jan ini.

Ia boleh diikuti melalui siaran TV3 atau menerusi Tonton dan YouTube TV3MalaysiaOfficial.

Terdahulu, seorang pelajar Malaysia yang dikatakan menuntut di Korea Selatan menciap di Twitter bahawa Hael, 33, didakwa rancak berhibur di sebuah kelab gay di Itaewon.

Walaupun tidak membuat dakwaan secara langsung dengan menyebut mana-mana artis Malaysia, nama Hael tetap dihidu umum susulan bayangan judul judul lagu yang dikaitkan dengannya dalam ciapan tersebut.

Difahamkan, pelajar itu sudah memadam kenyataannya selepas ia mengundang perhatian ramai.

Ditanya sama ada dia kecewa dengan tuduhan yang dilemparkan kerana ia boleh menjejaskan reputasinya sebagai seniman yang berkredibiliti tinggi, Hael menjawab: “Tak apalah.”

Menjelaskan tindakan susulan yang bakal diambil, Hael berkata, dia menyerahkan sepenuhnya perkara tersebut kepada pihak pengurusan.

“Saya tak mahu ambil tahu sama ada pengurus mahu saman ataupun tidak.

"Awal-awal saya sudah serahkan segala-galanya pada pihak pengurusan kerana mereka lebih mahir dalam menguruskan hal sebegini.

“Macam saya cakap tadi, sepanjang menjayakan penggambaran di lokasi yang bermula sejak awal pagi, saya memerlukan fokus secukupnya,” kata Hael.