Desakan sekeliling boleh buat murung Scha kian kronik
Pelakon Scha Ellinea mengakui masalah kemurungan dihidapinya boleh menjadi lebih buruk sekiranya dia tertekan kerana berdepan desakan orang di sekeliling.
Kata aktres itu masalah yang didiagnos sejak dia di bangku sekolah tersebut memerlukannya mendapatkan rawatan doktor pakar pada setiap minggu.
“Saya jadi kemurungan terutama apabila ada seseorang mendesak itu dan ini. Sampai sekarang setiap minggu saya perlu menjalani rawatan dan konsultasi dengan doktor.
“Saya juga disarankan mengambil lima jenis ubat di bawah preskripsi tahap skizofrenia,” katanya.
Dan kata aktres itu, sekiranya masalah dihidapi terbawa-bawa hingga ke waktu malam, ia turut menyebabkannya mengalami gejala gangguan tidur.
“Apabila terjadi, saya tak boleh nak tidur apatah lagi kalau bersendirian. Justeru, saya perlu ditemani seseorang. Saya bukan penakut hantu, ni memang betul-betul kemurungan.
“Memang susah nak tidur sampai pagi. Keluarga pula jauh, namun mujur ada teman serumah atau kadang-kadang pembantu peribadi yang menemani saya,” katanya.
Tak boleh bersendirian
Scha, 22, berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Master In The House Malaysia di Petaling Jaya Performing Arts Centre, Petaling Jaya kelmarin.
Menurut Scha yang nama sebenarnya Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen itu, gangguan mental kronik itu menjadi makin teruk sewaktu pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) lalu.
“Saya ditahan di wad selama dua hari. Saya rasa, itu adalah keadaan yang paling teruk pernah saya alami,” katanya.
Menurut pelakon Perempuan Tanpa Dosa itu, sekiranya gagal mengikut rutin pengambilan ubat yang sepatutnya, dia akan berdepan beberapa kesan sampingan.
“Jika tak makan ubat, saya bertambah resah, lagi banyak berfikir sampai tangan berpeluh-peluh,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Scha yang juga pelakon Voice Note itu keadaannya mula menunjukkan perkembangan positif selepas dia terbang ke Korea Selatan bagi menjayakan Master In The House baru-baru ini.
“Alhamdulillah, lepas pergi Korea Selatan, keadaan saya agak tenang sikit tak payah jumpa doktor setiap minggu. Mungkin saya perlukan persekitaran baru dan udara yang segar,” katanya.
Disebabkan gangguan tidur dan tidak boleh bersendirian, menurutnya, ada juga yang mencadangkan dia untuk menamatkan zaman bujang segera.
“Buat masa ni soal kahwin saya tolak tepi dulu. Saya baru nak menapak dalam industri. Alhamdulillah, ada rakan-rakan yang memahami dan sanggup menemankan,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai