Skip to main
Logo Malaysiakini

'Saya tak perlu tergedik-gedik keluarkan duit nak jadi penyanyi'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dengan wang, Michael Ang yakin semua orang boleh menjadi 'penyanyi' di negara ini namun dia berasa berbangga apabila mengecap status itu dengan suara yang dimilikinya.

Menganggap industri seni tarik suara kini seakan dimeriahkan dengan golongan berkemampuan tinggi yang tiba-tiba ingin menjadi penyanyi, pengarah dan penerbit terkenal itu sebaliknya mendakwa, dia tidak perlu mengeluarkan wang sendiri.

“Bagi saya, jika sesiapa ada duit dan nak menyanyi, mereka setiap masa boleh berbuat demikian. Tapi yang penting, saya tak perlu berbelanja duit sendiri (untuk jadi penyanyi).

“Pihak Indigital Music yang hubungi dan tawarkan lagu tersebut kepada saya. Maknanya, saya tak perlulah tergedik-gedik keluarkan duit jika nak menyanyi (rakam lagu),” katanya.

Diminta mengulas mengenai tahap kualiti nyanyian yang ada padanya, Michael, 45, dengan yakin menjawab: “Mestilah saya akan cakap suara sendiri sedap.”

Michael berkata demikian ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan buah tangan sulungnya selaku penyanyi, berjudul Cinta Atau Propa yang diadakan secara maya hari ini.

Lagu dan lirik itu adalah hasil ciptaan Killa Driz dan diterbitkan Hafiz Hamidun.

Terdahulu, berita kemunculan single pengarah telefilem Hantu Rumah Sakit Jiwa itu mengundang pelbagai reaksi rakan dalam industri seperti pelakon Fizz Fairuz dan Sharnaaz Ahmad.

Sharnaaz misalnya berkata, dia memang naik darah dengan Michael sambil mengiringi kenyataan tersebut dengan sedutan klip video muzik Cinta Atau Propa, manakala Fizz pula meminta agar ruang menyanyi wajar diberikan saja kepada orang lain yang lebih layak.

Tidak cukup dengan itu, usahawan kosmetik sensasi, Hasmiza Othman atau Vida, turut mempertikaikan tindakan Michael untuk menjadi penyanyi.

Tak usah perasan sangat

Namun, Michael secara berseloroh berkata, lagu yang dihasilkan seseorang pengasas produk memang sukar untuk menembusi mana-mana stesen radio kerana ia seumpama memberikan mereka publisiti percuma.

“Dia boleh menyanyi sampai bulan jatuh ke bumi tapi stesen radio tetap tak akan mainkan lagu tersebut pada platform mereka kerana seolah-olah diberikan publisiti pada pengasas produk tu,” katanya.

Pada masa sama, Michael, berkata, dia juga tidak kisah sekiranya ada pihak yang mahu menyamakan lagu mahupun vokalnya seperti seorang lagi usahawan kosmetik, Aliff Syukri.

“Jika ada yang berasa mereka nak samakan suara saya dengan Aliff Syukri, silakan,” katanya selamba.

Bagaimanapun, Michael membidas tanggapan segelintir pihak yang membuat andaian bahawa cerita dipaparkan dalam Cinta Atau Propa itu sebenarnya menyindir kisah percintaan Vida dan bekas pembantunya, Iqbal Zulkefli.

“Ia langsung tak ada kena mengena, tak perlu perasan sangat. Lagu ni menceritakan pengalaman dan kisah duka yang saya alami iaitu mengenai masalah kemurungan dan kerjaya.

“Saya sebenarnya ceburkan diri dalam bidang nyanyian sebab amat tertekan pada waktu tu dan tercari-cari jalan keluar untuk kembali berasa yakin dengan diri sendiri,” katanya.