Skip to main
Logo Malaysiakini

Mengaku buat bariatrik, Lufya tiada niat beri galakan negatif

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seseorang selebriti yang ingin menangani isu obesiti kini dilihat cenderung memilih kaedah popular untuk tampil kurus dan bersaiz kecil dengan melakukan pembedahan bariatrik.

Bagi Lufya Omar, mendedahkan dirinya pernah melakukan kaedah rawatan kosmetik itu untuk mengatasi masalah berat badan berlebihan bukanlah bertujuan memberi galakan secara negatif kepada orang ramai.

Sebaliknya kata penyanyi dan pelakon itu, ia menawarkan suatu alternatif terutama buat mereka yang mengalami masalah asma sepertinya.

“Hanya orang ada masalah kesihatan seperti saya saja dapat memahami keperluan untuk melakukan pembedahan sebegini.

“Bukan mudah untuk menurunkan berat badan apabila kita mempunyai nafsu makan besar.

"Saya berjalan sikit dah termengah-mengah. Saya mengalami serangan asma setiap hari selama beberapa bulan, kesan daripada berat badan berlebihan malah kalau kritikal sampai perlu ditahan di wad. Kesihatan juga merudum sampai tak boleh menyanyi seperti dulu,” katanya.

Bekas peserta Akademi Fantasia ke-6 (AF6) itu menambah, dia tidak malu membuat pengakuan menjalani pembedahan untuk menurunkan berat badan kerana percaya perkongsiannya boleh memberi manfaat kepada masyarakat.

“Saya tak kisah berkongsi apa yang saya buat kerana ini adalah perjalanan hidup saya dan tak mahu dinilai kemudian hari. Nanti ada pula yang kata haram dan sebagainya,” katanya.

Lufya, 36, berkata demikian ketika ditemui pada sidang media khas bersama pakar bedah bariatrik terbaik Asia Pasifik, Dr Mustafa Mohammed Taher, di sebuah restoran di ibu kota baru-baru ini.

Untuk rekod, pelakon Mahar Tanpa Cinta itu mengakui dia nekad melakukan pembedahan bariatrik pada awal Nov lalu selepas segala usahanya untuk mengurangkan berat badan menemui kegagalan.

Bagaimanapun, Lufya menegaskan, usahanya untuk mengecilkan badan bukanlah disebabkan terdesak untuk mengakhiri status janda tetapi memberi fokus terhadap membesarkan anak tunggalnya.

“Saya belum terfikir soal jodoh. Namun, tidak juga menyekat jika sudah ditakdirkan bertemu seseorang.

“Saya mahu tampil kurus demi kesihatan dan mengaktifkan karier nyanyian semula. Selain itu, fokus saya adalah berupaya membesarkan Laana Haura dalam keadaan saya sihat,” katanya.

Lufya mendirikan rumah tangga dengan doktor perubatan estetik, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum, pada 26 Nov 2016. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan.

Bagaimanapun, perkahwinan itu tidak bertahan lama apabila mereka berpisah pada 17 Jun 2020.