Skip to main
Logo Malaysiakini

Kekal solo, Shuib serah pada masa untuk tentukan jodoh

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Meskipun ada wanita yang cuba mendekati, Shuib Sepahtu mengakui buat masa ini dia hanya membiarkan saja mesej disampaikan melalui akaun media sosialnya itu dan ia tidak berbalas.

Pelawak dan usahawan terkenal itu berkata, dia juga belum mempertimbangkan keperluan untuk mencari pengganti allahyarhamah isterinya, Siti Sarah Raisuddin, walaupun soal itu sering ditanya ibunya, Salamiah Jalani.

“Memang ada, setiap hari terima mesej daripada wanita tak dikenali. Tiba-tiba mengambil berat pun ada.

“Tapi macam tu sajalah. Saya tak membalas pun pesanan mereka.

“Kalau nak berbicara soal jodoh ketika ni, saya rasa apa yang boleh saya cakap hanya biarlah waktu saja yang menentukan,” katanya.

Bagaimanapun, Shuib berkata, sebenarnya tiada desakan daripada ibunya untuk beristeri buat masa ini, cuma dia memahami perasaan orang tua yang mahu melihat dia kembali bahagia.

“Saya faham, hati seorang ibu yang sangat menginginkan anaknya kembali bahagia seperti dulu.

“Hanya mak saya saja tahu bagaimana kami (dengan arwah) berkasih sayang.

“Mak selalu cakap, cubalah berkawan dengan sesiapa dan kalau ada cubalah kenalkan kepada dia. Tapi saya balas, saya tak tahu lagi buat masa ni,” katanya.

Tak boleh tutup mulut orang

Shuib berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenalkan Anzalna sebagai duta jenama Loreta X Anzalna di sebuah hotel di ibu kota hari ini.

Allahyarhamah Siti Sarah meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras akibat Covid-19 pada 9 Ogos lalu.

Shuib dan Siti Sarah mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2011.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10; Talita, 8; Ariq Matin, 6; dan Ayash Affan, empat bulan.

Mengulas lanjut, sekiranya suatu hari nanti hatinya mula terbuka soal jodoh, biarlah ia dilakukan demi membesarkan anak-anaknya.

“Saya tak risaukan anak lelaki, tapi yang perempuan. Talita tu selalu kebosanan tak ada tempat nak mengadu. Waktu tidur pula sampai cari mak mentua saya untuk menemani.

“Saya boleh cuba berikan segala-galanya, jadi ibu dan bapa pada satu masa tapi itu adalah satu tanggungjawab yang sukar dipenuhi dengan sempurna,” katanya.

Pada masa sama, Shuib berkata, dia juga tidak mengambil endah cakap-cakap belakang orang terhadapnya jika suatu hari nanti dia bertemu jodoh semula.

Katanya, asalkan dia tidak mengganggu kehidupan orang lain, itu sudah memadai.

“Saya tak boleh nak risaukan apa orang cakap sebab kita memang tak boleh tutup mulut orang.

“Pasti ada saja akan kata 'dulu beria-ia bersedih, sekarang nak cepat cari pengganti pula'.

“Mungkin juga ada akan berkata, betullah, macam mana nak tanggung seorang diri besarkan anak semua, jadi lebih baik saya tak perlu dengar cakap sesiapa.

“Bagi saya, apa pun biarlah berbalik pada fitrah, dulu saya ada isteri untuk berkasih sayang, seorang lelaki kena ada tu sama juga dengan anak, mereka perlu kasih sayang seorang ibu,” katanya.