Skip to main
Logo Malaysiakini

Duo Sa.Ya puas langsaikan 'hutang' sambil beri inspirasi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kumpulan duo Sa.Ya akur bahawa menang atau kalah, kekal atau tersingkir adalah adat pertandingan seperti Gegar Vaganza.

Sikap itu diambil mereka selepas gagal melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) malam tadi.

Kata Saiful Apek, meskipun terpaksa menghentikan perjuangan, namun mereka berpuas hati kerana berpeluang memberi inspirasi buat penonton di kala diuji wabak Covid-19.

“Kami pelawak pertama diberi peluang sertai GV dan kami anggap masih dalam proses pembelajaran.

“Dalam satu kejayaan ada 99 kegagalan. Tujuan kami ialah untuk perbaiki persembahan di pentas.

“Kami anggap tugas kami adalah untuk memberi inspirasi kepada orang ramai di luar sana yang berdepan cabaran dalam hari-hari dilalui mereka,” katanya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya malam tadi.

Sa.Ya yang turut dianggotai Yassin membawakan lagu Blus Terengganu Kita di depan juri tetap dan jemputan GV8 terpaksa akur dengan keputusan yang menegur kelemahan vokal mereka.

Keputusan suku akhir malam tadi menyaksikan Suki Low yang membawa lagu Korea berjudul You Are My Everything berada di kedudukan teratas dengan markah 78.9 peratus.

Penyanyi asal Singapura Aliff Aziz pula berada di kedudukan kedua dengan mata 76.8 peratus, diikuti Aweera di tempat ketiga dengan markah 73 peratus, sekali gus melayakkannya mara ke peringkat separuh akhir.

Peserta lain yang turut mara ialah Nikki Palikat, Adibah Noor, Azan Scan, Ani Mayuni dan Shidee.

Pusingan suku akhir GV8 diadili barisan juri tetap iaitu maestro tersohor, Ramli MS, serta Hetty Koes Endang manakala dua juri jemputan ialah Mokhzani Ismail dan Norman Abdul Halim.

Kata Saiful, Sa.Ya juga sudah melangsaikan 'hutang' seni mereka demi peminat meskipun kejayaan tidak berpihak kepada mereka.

“Niat asal kami adalah untuk tekankan proses sambung belajar dan miliki ‘biasiswa’ namun, ijazah kami setakat di minggu kelapan saja.

"Alhamdulillah kami gembira dapat langsaikan hutang seni dan tuntutan pentas tu sendiri. Tak ada kejadian yang jadi kebetulan,” katanya.