Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes dadah: Pelakon Budak Pailang didenda RM4,000

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini menjatuhkan hukuman denda RM4,000 ke atas Niezam Zaidi selepas pelakon itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badan Okk tahun lalu.

Jika gagal berbuat demikian Niezam boleh dihukum penjara 10 bulan.

Majistret Mohd Shazmeer Zamhari turut memerintahkan Niezam menjalani tempoh pengawasan selama dua tahun.

Berdasarkan pertuduhan pindaan yang dibacakan, Niezam atau nama sebenar Muhamad Niezam Mohd Zaidi, didakwa memiliki 0.6 gram (g) kanabis di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri, kira-kira 7.10 pagi pada 10 Okt.

Ia merupakan kesalahan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Pelakon Budak Pailang itu turut dituduh mengikut Seksyen 15 (1) ADB kerana memasukkan bahan terlarang ke tubuh sendiri iaitu dadah berbahaya jenis THC di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar kira-kira jam 9.50 pagi pada tarikh sama.

Mahkamah menjatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara lima bulan jika Niezam, 30, gagal membayar denda bagi kesalahan memiliki dadah.

Menurut laporan BH Online, untuk kesalahan penyalahgunaan dadah, Mohd Shazmeer menetapkan jumlah denda RM2,000 atau penjara lima bulan ke atas tertuduh, selain menetapkan tempoh pengawasan terhadapnya.

Peguam Hennie Suraya Hanafi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili Niezam sebelum itu memohon mahkamah meringankan hukuman atas alasan pendapatan purata tertuduh kira-kira RM2,500 sebulan.

Katanya selepas ditahan dan dituduh pendapatan Niezam terjejas teruk berikutan tidak lagi menerima tawaran berlakon.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nur Syuhada Muhammad Lutfi memohon hukuman setimpal dikenakan kerana kes itu membabitkan kepentingan awam yang lebih tinggi daripada kepentingan tertuduh iaitu bagi memberi pengajaran kepada masyarakat yang mengikuti perkembangan kes.

Sementara itu, mahkamah sama menjatuhkan hukuman denda RM3,800 kepada pengarah filem, Mohd Latiff Zami, dan RM4,000 kepada penolongnya, Saiful Zaidrin Ismail, selepas mereka juga mengaku bersalah masing-masing atas dua tuduhan iaitu memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badan.

Majistret memerintahkan Mohd Latiff, 50, yang didakwa mengikut Seksyen 6 ADB kerana memiliki 0.2 gram kanabis didenda RM1,800 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda bagi kesalahan itu, selain denda RM2,000 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda serta tiga tahun tempoh pengawasan bagi kesalahan memasukkan dadah THC ke badan.

Bagi Saiful Zaidrin, 47, Mohd Shazmeer menetapkan denda RM2,000 atau penjara lima bulan jika denda gagal dibayar bagi kesalahan memiliki 0.03 gram dadah methamphetamine iaitu mengikut Seksyen 12(2) ADB, selain denda RM2,000 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda serta dua tahun tempoh pengawasan bagi kesalahan memasukkan dadah methamphetamine ke badan.

Kedua-dua mereka melakukan kesalahan memiliki dadah pada masa, tarikh dan lokasi sebagaimana dilakukan Niezam.

Bagi tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) ADB. Mereka juga membayar denda yang dikenakan.